PETUGAS di bilik jualan BMW di Fujian, China, berdepan situasi memeningkan apabila terpaksa mengira duit syiling yang diberikan seorang pelanggan yang membeli kereta mewah itu.

Menerusi satu video yang disiarkan oleh laman web pearvideo.com, petugas dilihat bertungkus lumus mengira berkotak-kotak duit syiling yang kebanyakan dalam nilai 5 mao (RM0.27 sen).

Salah seorang eksekutif bilik jualan itu yang dikenali sebagai Gu memberitahu, pelanggan itu merupakan seorang peniaga jualan borong dan telah bertahun-tahun menyimpan duit syiling untuk tujuan membeli kereta mewah.

"Petugas kami terpaksa ke rumahnya apabila dia berkeras untuk membayar ansuran pertama menggunakan duit syiling.

"Kami membawa pulang lebih 10 kotak besar berisi duit syiling bernilai 70,000 yuan (RM43,433)," kata Gu.

Harga kereta BMW yang dibeli pelanggan itu dianggarkan sekitar 400,000 (RM248,196).