Lima orang dewasa berumur antara 20 hingga 60 tahun dan seorang bayi dijangkiti virus 'measles' ketika berada di tempat pengambilan bagasi di Lapangan Terbang Melbourne, sejak tiga minggu lepas.

Perkara itu disahkan oleh pegawai penguatkuasa kesihatan yang turut mempercayai seorang lelaki tempatan berusia 40-an merupakan punca penyakit itu merebak.

Menurut laporan media tempatan, lelaki tersebut menaiki pesawat AirAsia D7214 dari Malaysia dan apabila sebaik tiba di Melbourne pada 7 Mac, dia dihantar ke hospital kerana dilaporkan tidak sihat.

Selain daripada lelaki itu, mangsa yang terjangkit dikatakan berada di tempat pengambilan bagasi antarabangsa pada masa yang sama dengan lelaki berkenaan.

"Semua individu yang diserang virus tersbut tidak berada dalam pesawat yang sama, tetapi kami percaya mereka semua jatuh sakit kerana berada di tempat pengambilan bagasi pada waktu yang sama," kata Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Dr Brett Sutton.

Tiga orang dewasa kini masih menjalani rawatan di hospital, manakala seorang bayi yang belum boleh diberi vaksin (di Australia, vaksin measles tidak diberikan kepada bayi bawah 12 bulan) dan dua orang dewasa menjalani rawatan di rumah.

Menurut Dr Sutton, vaksin measles bukan hanya diperlukan untuk kanak-kanak malah perlu diambil oleh sesiapa yang melancong ke luar negara.