SATU pasangan suami isteri di Raipur, India mencetuskan tanda tanya apabila menamakan bayi kembar mereka "Corona" dan "Covid" sebagai simbolik kemenangan menghadapi kesukaran.

Menurut Times of India, Preeti Verma, 27, melahirkan anak kembarnya itu pada 26 Mac lalu ketika India mengharungi perintah berkurung susulan pandemik COVID-19.

Verma dan pasangannya berkata mereka membuat keputusan itu untuk menjadikan hari kelahiran bayi kembarnya itu sebagai "hari yang tidak dapat dilupakan."

"Kelahiran itu berlaku selepas kami berdepan dengan pelbagai kesukaran, jadi saya dan suami mahu menjadikannya sebagai hari yang tidak dapat dilupakan.

"Virus COVID-19 memang bahaya dan mengancam nyawa, tetapi kesan daripada wabak itu, orang ramai fokus menjaga kebersihan dan penjagaan diri.

"Jadi kami fikir untuk menggunakan nama tersebut," katanya yang bersalin di DR BR Ambedkar Memorial Hospital.

Tambah Verma, ketika proses kelahiran, kakitangan hospital turut memanggil bayi kembarnya itu sebagai Corona dan Covid.

Menceritakan semula situasi pada tengah malam 26 Mac itu, Verma berkata ambulans yang membawanya ke hospital telah ditahan pihak polis di beberapa sekatan jalan raya susulan perintah berkurung.

Bagaimanapun, kesemua sekatan polis tersebut membenarkan ambulans itu meneruskan perjalanan selepas mengetahui keadaannya ketika itu.

"Saya tertanya-tanya apa yang akan terjadi di hospital kerana ketika itu sudah tengah malam, tetapi saya beruntung kerana para doktor dan kakitangan memberi kerjasama yang sangat baik.

"Walau bagaimanapun, saudara-mara saya tidak dapat pergi ke hospital kerana perkhidmatan bas dan kereta api telah dihentikan," katanya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi telah mengumumkan arahan perintah berkurung dan kuarantin dikuatkuasakan selama 21 hari pada 21 Mac lalu.

Perintah itu secara tidak langsung menyaksikan ribuan pekerja yang meraih gaji harian di New Delhi memenuhi jalan raya minggu lalu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sebagai usaha mencari pekerjaan dan pendapatan lain.

Sehingga tengah hari Jumaat, pihak berkuasa kesihatan India mencatatkan 2,567 kes positif dijangkiti COVID-19, 72 kes meninggal dunia manakala 100 kes sembuh sepenuhnya.