SEORANG wanita yang dituduh membunuh anaknya masih mampu ketawa dan bergurau bersama teman lelakinya ketika bayi berusia 22 bulan itu bertarung nyawa di katil hospital.

Abigail Leatherland, 26, dan Thomas Curd, 31, dituduh memberikan racun kepada Eve Leatherland, dipercayai untuk menyembunyikan penderaan fizikal yang dilakukan mereka.

Pasangan itu sedang dibicarakan di Mahkamah Truro Crown, UK, atas tiga dakwaan iaitu membunuh, membunuh akibat kecuaian dan menyebabkan atau membiarkan kematian Eve pada Oktober 2017, lapor The Daily Mail.

Kedua-duanya menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan mereka tidak bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami Eve.

Para juri dimaklumkan Eve mengalami keretakan pada tengkorak dan patah tulang rusuk selain kegagalan fungsi yang akhirnya membawa kematian.

Tetapi pasangan itu tetap asyik dengan permainan video, TV dan Facebook, langsung tidak terkesan dengan keadaan bayi itu yang semakin lemah.

Seorang saksi, Sophie Brock memberitahu mahkamah keadaan Eve sangat lemah sewaktu tiba di hospital.

"Dia sangat pucat dan saya nampak kesan lebam di bahagian bawah punggungnya.

"Kesan itu bukan baru, malah ada kesan lebam di bahagian pinggul," kata Brock yang bertugas di bahagian kecemasan Hospital Plymouth.

Seorang jururawat, Charlotte Durrant, memberitahu mahkamah, reaksi pasangan itu juga pelik ketika dimaklumkan Eve tidak mempunyai harapan untuk hidup.

"Ibunya hanya duduk sambil scroll telefon bimbitnya. Teman lelakinya pula nampak gelisah dan pucat," kata Durrant.

Perbicaraan masih berlangsung.