Berita  | Dunia

Bayi tiga kaki, dua kemaluan bakal hidup normal

Bayi tiga kaki, dua kemaluan bakal hidup normal
Bayi yang memerlukan satu lagi pembedahan dalam tempoh tiga bulan lagi bagi membolehkan dia menggunakan duburnya seperti biasa. -Foto Sinar Harian
MOSCOW: Sekumpulan doktor di Rusia berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki yang dilahirkan dengan tiga kaki, dua kemaluan dan tanpa dubur selepas ibunya enggan menggugurkan kandungannya.

Pembedahan kecemasan ke atas bayi yang dipercayai mempunyai kembar itu dibuat kerana dia tidak terbentuk dengan sempurna di dalam rahim ibunya.

Kaki tambahan dikesan ketika ibu bayi berkenaan yang tinggal di sebuah wilayah di Rusia datang ke hospital untuk melakukan pemeriksaan rutin.

Wanita terbabit enggan menggugurkan kandungan dan melahirkan anak lelakinya pada Julai tahun lalu.

Sebulan kemudian, kaki tengah yang terletak di antara kaki kanan dan kirinya dibuang di Hospital Kanak-kanak Vladimir oleh salah seorang pakar bedah terbaik negara itu, Prof Yury Sokolov, 55, dengan dibantu Dr Evgenia Kartseva.

Pada Februari lalu, pakar urologi membuang alat kelamin dan organ urin tambahan sebelum bayi itu dibedah sekali lagi untuk membentuk dubur di tempat yang sepatutnya.

"Kemungkinan besar pada awal pembentukannya ialah kembar. Kaki tengah itu mempunyai dua tumit.

"Sepatutnya terbentuk menjadi dua bayi lelaki tetapi di dalam rahim hanya ada seorang bayi. Bayi itu kini berusia 1 tahun 2 bulan dan sudah pandai berjalan," menurut sumber perubatan.

Difahamkan, bayi terbabit memerlukan satu lagi pembedahan dalam tempoh tiga bulan lagi bagi membolehkan dia menggunakan duburnya seperti biasa.

Menurut doktor, selepas beberapa siri pembedahan bayi itu bakal menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. - Agensi