Ibu negara China kini dalam usaha untuk keluar dari senarai 200 bandar raya paling tercemar di dunia tahun ini, susulan bacaan jerebu di Beijing turun ke paras paling rendah pada Ogos.

Reuters melaporkan, data tersebut didapatkan daripada agensi pemantau kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir AirVisual, pada Khamis.

Beijing sedia mengurangkan paras bacaan partikel berbahaya sehingga 20 peratus tahun ini berbanding yang direkodkan pada 2018, dan hampir sepertiga daripada bacaan pada 2017.

Sejak 2014, Beijing cuba untuk mengatasi masalah pencemaran udara. Antara langkah yang diambil adalah menghentikan operasi dan memindahkan tapak industri yang menyebabkan pencemaran.

Selain itu, standard pengeluaran bahan api diperbaiki serta penggunaan arang batu dikurangkan di ibu kota itu dan wilayah sekitarnya.

Bagaimanapun, kualiti udara di Beijing pada 2019 dijangka empat kali lebih tinggi daripada yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lebih empat kali ganda berbanding garis panduan bacaan kepadatan PM2.5 bagi 10 mikrogram per meter kubik.

China akan mengambil langkah yang lebih berkesan dalam menangani isu pencemaran pada tahun 2019, dan pada masa sama terus mengambil tindakan ke atas pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang.

Pentadbiran Beijing juga berkata kota itu akan mengawal aktiviti penjualan bunga api dan bahan api pada bulan ini untuk memastikan pencemaran udara dapat diminimumkan sempena sambutan ulang tahun ke-70 pengasasan republik itu, pada 1 Oktober nanti.