Lebih 1,000 warga Palestin meninggal dunia setakat ini susulan sekatan bekalan yang dilakukan tentera Israel secara berterusan di persisiran pantai Gaza, Palestin.

Menurut Pengurus Pertubuhan Amal Gaza, Ahmad Al-kurd, lima bayi pra-matang meninggal dunia beberapa hari selepas dilahirkan kerana gagal mendapat rawatan perubatan yang mencukupi.

“Daripada 1,000 mangsa sekatan tersebut, 450 daripadanya mati akibat kemerosotan tahap kesihatan di Gaza seperti kekurangan bekalan perubatan sehingga menyukarkan proses pembedahan dilakukan,” katanya.

Al-kurd turut menjelaskan, penggunaan elektrik alternatif di Gaza telah meragut nyawa rakyat Palestin sejak tahun 2006 lagi, lapor Al-Jazeera.

“Penggunaan lilin, kayu api dan penjana elektrik menjadi punca kepada kebakaran rumah dan meragut banyak nyawa di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa,” Al-kurd dipetik berkata.

Sebelum ini, pihak Israel telah mengurangkan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza kepada satu pertiga, bermakna setiap isi rumah mendapat kurang dua jam bekalan elektrik setiap hari.