SYARIKAT farmaseutikal AstraZeneca akan mengurangkan bekalan dos vaksin COVID-19 daripada jumlah yang dipersetujui bersama Kesatuan Eropah (EU) selepas mengalami isu pengeluaran.

Memetik laporan Reuters, bekalan dos vaksin syarikat itu ke EU akan dikurangkan sebanyak 60 peratus, daripada 80 juta kepada 31 juta dos sahaja pada suku pertama tahun ini.

Pengumuman itu dibuat ketika AstraZeneca masih menunggu untuk kelulusan vaksin oleh Agensi Perubatan Eropah yang dijangka dikeluarkan selepas mesyuaratnya pada 29 Januari depan.

Syarikat itu sepatutnya menghantar 80 juta dos ke 27 negara EU pada hujung Mac.

Bagaimanapun, jutaan dos masih lagi akan dihantar ke blok itu pada Februari dan Mac, ketika syarikat itu berusaha untuk meningkatkan pengeluaran.

Pesuruhjaya Kesihatan dan Keselamatan Makanan Eropah, Stella Kyriakides menerusi Twitter menyatakan ketidakpuasan hati EU susulan pengumuman itu.

EU akan menggesa AstraZeneca untuk menghormati perjanjian awal dan mempercepatkan penghantaran vaksin.

Blok itu menandatangani perjanjian untuk membeli sekurang-kurangnya 300 juta dos daripada AstraZeneca, dengan pilihan untuk menambah lagi 100 juta dos.