Bekas Datuk Bandar Tehran diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Iran selepas mengaku membunuh isterinya.

Mohammad Ali Najafi, 67, menyerah diri tidak lama selepas isteri keduanya, Mitra Ostad, 35, ditemukan maut dengan kesan tembakan di rumahnya.

Bercakap kepada wartawan, Najafi berkata, dia hanya berniat untuk mengancam mangsa dan kematiannya adalah disebabkan pergelutan.

Najafi yang tinggal berasingan daripada isteri keduanya itu gagal mendapatkan persetujuan mangsa untuk bercerai.

Selepas berlaku pertengkaran, Najafi dikatakan mengambil sepucuk pistol dan bantal lalu menuju ke bilik air di mana mangsa berada.

Ketakutan melihat pistol tersebut, mangsa dilaporkan cuba bergelut dengan Najafi namun meninggal dunia akibat ditembak.

Najafi yang pada mulanya berfikir untuk membunuh diri ekoran insiden tersebut akhirnya menyerah diri kepada pihak polis.

Menurut Ketua Polis Tehran, Hossein Rahimi, permit memiliki senjata Najafi telah tamat tempoh empat tahun lalu.

Dalam pada itu, video menunjukkan pegawai polis berbual santai sambil menghirup teh bersama Najafi selepas menyerah diri menambah kepada kontroversi kes.

Ramai yang mempertikaikan hormat yang ditunjukkan kepada Najafi, ia amat berbeza dengan cara rakyat dilayan walaupun sekadar melakukan kesalahan kecil.

Rahimi bagaimanapun menegaskan, teh tersebut dihidangkan kepada pegawai yang mengendalikan kes terbabit selepas waktu berbuka.

"Kami menghidangkan teh kepada pegawai yang mengendalikan kes terbabit selepas waktu berbuka dan turut mempelawa Najafi minum bersama.

"Ia hanyalah perbuatan bertimbang rasa," kata Rahimi seperti dipetik agensi berita ISNA.

Berkhidmat sebagai Datuk Bandar Tehran dari Ogos 2017 hingga April 2018, Najafi dipaksa meletak jawatan selepas dikritik teruk kerana menghadiri persembahan tarian yang disertai gadis muda. - Foto BBC