SEORANG bekas pakar bedah yang disyaki terlibat dalam kes merogol dan terbabit dalam gangguan seksual terhadap seramai 349 kanak-kanak selama hampir tiga dekad, akhirnya dibicarakan di sebuah mahkamah di Perancis.

Menurut sumber, perbicaraan yang dilakukan di bandar Saintes, barat Perancis tersebut merupakan sesi perbicaraan pertama daripada ratusan aduan yang dikenakan terhadapanya untuk tampil ke mahkamah.

Dalam pada itu, sesi perbicaraan itu akan berlangsung sehingga 17 Mac ini.

Suspek yang dikenali sebagai Le Scouarnec, 69, didakwa dalam perbicaraan berkenaan atas kesalahan merogol dan melakukan gangguan seksual terhadap empat orang kanak-kanak dalam tempoh 1989 hingga 2017.

Antara empat mangsa yang terlibat itu adalah dua anak saudara perempuannya sendiri, seorang pesakitnya dan seorang lagi kanak-kanak perempuan yang berusia enam tahun.

Disebabkan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, mahkamah Saintes memutuskan pada Jumaat bahawa prosiding kes itu akan dilakukan secara tertutup, lapor radio franceinfo.

Sebelum ini, Le Scouarnec pernah ditangkap pada 2017 apabila seorang gadis yang tinggal bersebelahan rumahnya membuat laporan bahawa dirinya telah dicabul dan menjadi mangsa gangguan seksual.

Ekoran itu, pihak berkuasa telah menyiasat rumah Le Scouarnec dan didapati mempunyai gambar berkaitan penderaan kanak-kanak dan beberapa beberapa nota yang berunsur gangguan seksual dari tahun 1989 hingga 2017.

Le Scouarnec bagaimanapun berpura-pura tidak tahu dan menganggap catatan nota yang dilakukannya itu hanya sekadar berunsur fantasi.

Terkini, dia dipercayai akan menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.