Bekas peguam peribadi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Michael Cohen dihukum penjara tiga tahun pada Rabu kerana melakukan beberapa kesalahan.

Dia didapati bersalah atas tuduhan mengelak cukai, membuat kenyataan palsu kepada Kongres dan membuat bayaran haram kepada wanita yang terlibat membantu kempen pilihan raya Trump pada 2016.

Hukuman diputuskan hakim mahkamah daerah William Pauley di Manhattan.

Mengaku bersalah, Cohen, 52 tahun, yang menyalahkan Trump, berjanji akan terus bekerjasama dengan sistem kehakiman AS dalam menentang bekas ketuanya.

Katanya, Trump yang menyebabkan dia "mengambil lorong kegelapan" dan tidak mengikuti jalan yang benar.

Dia memberitahu mahkamah, "kelemahannya ialah setia membuta tuli kepada Trump" dan merasakan "menjadi tanggungjawabnya menutup kelakuan buruk" ketuanya ketika itu.

Terdahulu, peguamnya memohon hukuman dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik selama ini. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak.

Jenayah dilakukan Cohen termasuk mengelak cukai bernilai ASD1.4 juta.

Dia juga menipu Kongres mengenai rundingan dengan Rusia berhubung projek menara pencakar langit milik Trump di Moscow.

Cohen adalah bekas petugas Trump pertama yang dipenjara selepas inkuiri khas mengenai campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.