Bekas perdana menteri Chuan Leekpai dari Demokrat dipilih sebagai Speaker Parlimen Thailand yang baharu.

Calon pro-junta itu mengenepikan Sompong Amornvivat dari Pheu Thai, parti dikaitkan dengan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan. Beliau dipilih dengan keputusan 258 undi menyokong, 235 menentang dan satu berkecuali.

Chuan, 80 tahun, berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1992 hingga 1995 dan dari 1997 hingga 2001. Beliau juga berkhidmat di beberapa kementerian termasuk keadilan, pendidikan, perdagangan, kesihatan awam dan pertanian.

Media tempatan melaporkan bahawa pencalonan Chuan adalah sebahagian daripada persetujuan bagi membolehkan parti tertua di Thailand untuk menyertai Parti Palang Pracharat (PPRP) yang pro junta untuk membentuk gabungan.

Sesi sidang parlimen yang pertama pada Sabtu dipengerusikan oleh tokoh politik veterank, Chai Chidchob, dari Parti Bhumjaithai yang mempengerusikan sesi parlimen pertama untuk memilih speaker dan anggota di auditorium TOT Pls di Chaeng Wattana Road di Bangkok kerana bangunan parlimen yang baharu masih dalam pembinaan.

Terdahulu, kesemua 498 anggota parlimen mengangkat sumpah, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum pada 24 Mac. Dua kerusi kosong sementara menunggu pilihan raya kecil di Chiang Mai.

Bagaimanapun, pemimpin Parti Future Forward Party Thanathorn Juangroongruangkit diperintahkan meninggalkan bilik mesyuarat beberapa minit selepas upacara mengangkat sumpah. Beliau digantung keanggotaan sebagai anggota parlimen oleh Mahkamah Perlembagaan pada Khamis berhubung dakwaan memiliki saham dalam sebuah syarikat media semasa pilihan raya.

Pengundian pada Sabtu memberi bayangan bahawa Parti Demokrat dan Bhumjaithai lebih cenderung untuk menyertai gabungan PPRP yang pro-junta untuk membentuk kerajaan baharu.

Demokrat memenangi 52 kerusi dan Bhumjaithai meraih 51 kerusi untuk menjadi "kingmaker" dalam memilih perdana menteri baharui.

Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha adalah satu-satunya calon PPRP bagi Perdana Menteri. Media tempatan melaporkan bahawa PPRP telah memperoleh sekurang-kurangnya 147 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 anggota sementara barisan demokratik diketuai oleh Phue Thai dan sekutunya mempunyai 245 kerusi.

Prayuth disebut-sebut untuk memegang tampok kuasa dengan meraih sekurang-kurangnya 376 undi apabila kesemua 500 anggota Parlimen disokong oleh 250 senator yang dilantik oleh junta untuk memilih perdana menteri.

Jika Demokrat dan Bhumjaithai menyertai gabungan PPRP, ia akan mengukuhkan lagi peluang Prayuth untuk menjadi perdana menteri.

Terdahulu, PPRP membentangkan usul untuk menangguhkan pengundian memilih speaker hari ini. Bagaimanapun, tidak ada penjelasan lanjut tentang mengapa untuk menangguhkan pengundian memilih speaker. Bagaimanapun, usul itu gagal dengan keputusan undi 248-246.

Pemerhati politik membuat spekulasi bahawa langkah penangguhan itu ialah kerana PPRP ragu-ragu tentang pendirian Demokrat untuk bergabung dengan PPRP.

Semalam, Raja Maha Vajiralongkorn mengumumkan sesi parlimen pertama negara sejak rampasan kuasa tentera 2014 dibuka secara rasmi hari ini, dua bulan selepas pilihan raya umum pada 24 Mac di tapak parlimen sementara di Dewan Vithes Samosorn di Kementerian Hal Ehwal Luar, Bangkok. -- BERNAMA