Bekas Perdana Menteri Thailand Chuan Leekpai menolak cadangan meminta beliau mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kembali menyertai dunia politik dan seterusnya menjadi calon Perdana Menteri yang mewakili Parti Demokrat.

Chuan, 79, mengumumkan keputusannya itu selepas tokoh-tokoh utama parti itu menggesanya untuk 'mengikut cara Mahathir' dengan kembali memimpin Parti Demokrat pada pilihan raya umum yang dijadualkan Februari tahun depan.

Mereka percaya bekas perdana menteri itu, yang lembut dalam bertutur kata dan umpama bapa kepada Parti Demokrat, adalah orang yang tepat untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada pimpinan ketenteraan pada pilihan raya umum itu.

"Yang pasti, saya tidak akan menjadi antara calon-calonnya," katanya yang dipetik media tempatan hari ini sekali gus mematahkan harapan kalangan anggota Parti Demokrat yang mahukan beliau membuat kemunculan semula seperti yang dilakukan Dr Mahathir pada pilihan raya umum ke-14 Malaysia bulan lepas.

Dr Mahathir, 92, 'menggemparkan dunia politik' apabila berjaya memimpin pakatan pembangkang untuk menewaskan dan mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama enam dekad di Malaysia.

Berikutan keputusan pilihan raya yang mengejutkan itu, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia dan menjadi perdana menteri tertua di dunia.

Beliau pernah menjadi perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Dengan Chuan menolak permintaan parti untuk membuat kemunculan semula, harapan Parti Demokrat dalam menghadapi tentera pada pilihan raya itu terletak pada bahu penyandang kepimpinan dan bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Mengikut Seksyen 88 Perlembagaan Thailand, setiap parti politik perlu mengisytiharkan tiga calon perdana menteri kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum boleh berkempen untuk pilihan raya umum.

-- BERNAMA