Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George H.W. Bush, meninggal dunia pada Jumaat (30 November) jam 10.10 malam waktu tempatan, pada usia 94 tahun.

Bush yang menghidap penyakit Parkinson dirawat secara berkala sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan paras kesihatannya semakin terjejas selepas mengalami jangkitan yang mengakibatkan radang paru-paru.

Menurut jurucakap keluarga Bush, Jim McGrath, Bush dimasukkan ke Hospital Houston Methodist pada bulan April selepas jangkitan tersebut merebak di dalam darahnya.

Pada tahun 2017, Bush pernah menjalani rawatan rapi untuk penyakit radang paru-paru dan bergantung pada bantuan pernafasan.

Bush berkhidmat sebagai Presiden AS ke-41 dari tahun 1989 hingga 1993.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran Ronald Reagan dari tahun 1981 hingga 1989.

Kematian Bush menyusul selepas isterinya, bekas wanita pertama, Barbara Bush, yang meninggal dunia pada 17 April lalu.

Barbara, 92, menderita penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan kegagalan jantung kongestif dan kedua-dua mereka telah berkahwin selama 73 tahun.

Bush, yang berasal dari Massachusetts, menyertai pasukan bersenjata AS ketika berusia 18 tahun pada 1938 dan akhirnya menjadi juruterbang tentera laut paling muda pada masa itu.

Ketika berkhidmat dengan pasukan keselamatan, Bush telah menyertai kira-kira 58 misi pertempuran semasa Perang Dunia II, dengan salah satunya dia cedera ditembak oleh tentera Jepun.