Belanda hari ini menuduh Russia sengaja menimbulkan kekeliruan mengenai tragedi MH17 dengan berterusan mengkiritik laporan akhir pasukan penyiasat terhadap nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu.

Menteri Luar Belanda, Bert Koenders, berkata reaksi Rusia itu jelas menunjukkan negara itu tidak berminat mengenai laporan akhir berkenaan.

"Apa yang jelas mengenai tindak tanduk Rusia selepas laporan akhir itu dikeluarkan ialah, negara tidak berminat dengan dengannya, sebaliknya sengaja menimbulkan kekeliruan mengenainya," katanya kepada media Belanda.

Koenders yang dipetik agensi media Belanda, AMP sebagai berkata, beliau sudah cuba untuk menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavroy bagi membincangkan isu berkenaan, tetapi gagal.

Laporan akhir tragedi itu dikeluarkan pada Selasa setelah siasatan selama 15 bulan oleh pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai Badan Keselamatan Belanda.

Ia mengesahkan, pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine dengan peluru berpandu BUK buatan Russia.

Ketika itu, pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat itu ditembak jatuh di ruang udara Ukraine sewaktu konflik memuncak antara pasukan tentera pemerintah dengan pejuang pemisah pro-Rusia pada Julai tahun lalu.

Majoriti mangsa yang terbunuh adalah penumpang warga Belanda iaitu seramai 196 orang manakala penumpang selebihnya dan anak-anak kapal terdiri daripada warganegara daripada 10 buah negara

Sebuah badan penyiasatan diketuai Belanda untuk mencari dalang yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 kini menjadi keutamaan sejak beberapa hari lalu selepas punca kejadian dilaporkan, namun samada suspek akan ditangkap masih menjadi tanda tanya.

Pihak pemerhati membuat kesimpulan pada Selasa, bahawa, kerjasama Rusia dalam penyiasatan untuk mengenal pasti dalang di sebalik insiden pada Julai 17 tahun lalu adalah penting, tetapi ia tidak semestinya.