Berang dengan larangan keluar rumah, seorang lelaki bertindak memukul bapa kandungnya sendiri menggunakan buluh dan simen di bahagian muka sehingga mati.

Suspek, Danu Prasetyo, 20 tahun dituduh membunuh bapa kandungnya, Sunaryo, 65 pada pada 30 Januari lalu di Panjang Jiwo, Patalan, Jetis, jalan Parang Tritis, Bantul, Indonesia.

Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang lena tidur di dalam rumahnya, lapor portal DetikNews.

“Ketika kejadian, mangsa sedang tidur dan dalam keadaan tidak sedar. Suspek mencederakan mangsa dengan memukulnya di bahagian muka,” kata Ketua Polis Daerah Bantul, Anggaito Prabowo dalam satu sidang media pada Khamis.

Anggaito menjelaskan motif pembunuhan berpunca apabila bapa kandung (mangsa) menasihati anaknya (suspek) untuk tidak keluar rumah dan menyarankan menonton televisyen sahaja di rumah.

"Ketika mangsa sedang tidur, suspek terus mengambil buluh lalu memukul di bahagian muka mangsa,” tambah Anggaito.

Suspek kemudian mengambil bongkah simen di dalam rumah lalu menghentak di bahagian kepala dan leher mangsa sehingga mati.

Suspek bagaimanapun dikatakan menghidap penyakit sawan semenjak kecil lagi.

“Kami telah menghantar suspek ke Rumah Sakit Jiwa Grhasia untuk pemeriksaan lanjut. Kerana menurut keterangan saksi atau pihak keluarga mangsa, suspek dikatakan sudah menghidap penyakit sawan sejak usia sembilan bulan lagi,”

“Keadaan jiwa suspek memang agak tidak stabil. Namun, ibu suspek itu tidak dapat menjelaskan secara jelas permulaan kejadian berlaku. Walau bagaimanapun, pembunuhan ini dipercayai berpunca selepas suspek sering dinasihati mangsa pada 28 Januari,” tambah Anggaito.