ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 8 Julai 2020.

1. Indonesia catat kes positif baharu tertinggi dalam tempoh 24 jam, kes positif 68,079

Indonesia mencatatkan kes positif baharu tertinggi COVID-19 bagi tempoh 24 jam iaitu sebanyak 1,853 kes, tertinggi sejak kes pertama dikesan 2 Mac lepas. Kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 68,079 kes, manakala kes kematian keseluruhan setakat ini 3,359 orang.

2. COVID-19: Singapura catat 158 kes baharu, 9 dalam komuniti

Singapura yang dalam minggu ketiga Fasa Kedua pembukaan aktiviti ekonominya mengesahkan 158 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 45,298 kes.

3. COVID-19: Negara Arab terus catat kematian

Tujuh negara Arab terus mencatatkan lebih banyak kematian dan kes baharu COVID-19 pada Selasa ketika negara-negara terbabit berjuang membendung penularan wabak maut itu, lapor agensi berita Anadolu.

4. AS sah keluar WHO tahun hadapan

Amerika Syarikat (AS) sah keluar daripada menjadi anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 6 Julai 2021. Perkara itu diumumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas menerima pemberitahuan rasmi mengenai keputusan itu daripada Presiden AS Donald Trump.

5. Berakhirnya empayar Amerika Syarikat

Kegagalan masyarakat AS mengawal diri dalam menghadapi pandemik COVID-19 ditambah pula dengan insiden rasisme George Floyd membuktikan bahawa presiden dan rakyat AS itu sendiri haruslah hebat dan bertamadun bukannya mentamadunkan bangsa atau negara lain semata-mata.

6. COVID-19: Angka kes baharu di AS bakal cecah 3 juta, angka kematian sekitar 208,000

Jumlah kes positif COVID-19 dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat (AS) bakal menghampiri angka tiga juta orang apabila lebih banyak negeri melaporkan kes baharu, manakala Florida kini mengalami krisis kekurangan katil hospital akibat wabak itu.

7. Kemusnahan Amazon: Syarikat gergasi Brazil bergabung desak tindakan segera

Sekumpulan 39 syarikat, termasuk beberapa firma terbesar Brazil, pada Selasa menzahirkan kebimbangan tentang isu penebangan hutan yang berleluasa di belantara Amazon.

8. Bas bawa pelajar terjunam dalam tasik, 21 maut

Sekurang-kurangnya 21 maut selepas sebuah bas yang membawa pelajar terjunam ke dalam sebuah tasik di barat daya China. Kemalangan turut menyebabkan 15 lagi pelajar yang berada dalam bas itu mengalami kecederaan.

9. Thailand sangkal dakwaan seksa monyet dalam industri kelapa

Thailand menyangkal kenyataan aktivis haiwan yang mendakwa negara itu menyeksa monyet untuk memetik buah kelapa dan juga sebagai tarikan pelancongan. Menteri Perdagangan Thailand, Jurin Laksanawisit menolak tuduhan yang dibuat oleh People For The Ethical Treatment Of Animals (PETA) dan menjelaskan ia bukanlah aktiviti utama industri itu.

10. Presiden Brazil antara 1.63 juta yang disahkan positif COVID-19

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, disahkan positif COVID-19, setelah berbulan-bulan bertungkus-lumus dalam menangani krisis wabak yang melanda negara itu.