ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 30 Julai 2020.

1) 10,000 umat Islam di Tanah Suci tunai ibadah haji

Seramai 10,000 umat Islam yang berada di Tanah Suci berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini berbanding kira-kira 2.9 juta orang dari seluruh dunia pada tahun lalu.

2) Berbeza dengan tahun sebelum ini, ibadah Haji tahun ini dilaksana pada skala kecil

Jika musim Haji sebelum ini lautan manusia membanjiri Masjidil Haram, kali ini jemaah Haji melaksanakan ibadah itu dengan garis panduan yang lebih ketat susulan pandemik COVID-19.

3) COVID-19: Singapura catat 278 kes baharu, 4 lagi kes import

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam data ringkas yang dikeluarkan setakat tengah hari, sebahagian besar kes berkenaan adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

4) Kereta api kargo terbakar jatuh dari jambatan
Sebuah kereta api kargo musnah dalam kebakaran selepas tergelincir dari landasan di jambatan Tempe Town Lake di Tempe, pinggir bandar Phoenix, Arizona, pada Rabu sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kenderaan yang dimuat dalam kereta api tersebut turut musnah.

5) Puluhan ribu rakyat Bulgaria desak Borissov letak jawatan

Puluhan ribu rakyat Bulgaria menyertai demonstrasi bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Boyko Borissov dan Ketua Pendakwa Raya, Ivan Geshev.

6) COVID-19: Lebih 90,000 mati di Brazil

Brazil terus mencatatkan peningkatan jangkitan kes COVID-19 sehingga mengakibatkan lebih 90,000 terkorban manakala 69,074 kes baharu dilaporkan dengan jumlah kematian terbaharu sebanyak 1,595 kematian dalam tempoh 24 jam.

7) COVID-19: PM Australia sokong langkah Victoria perketat sekatan

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyatakan sokongan terhadap keputusan pemerintah Victoria untuk mengetatkan sekatan COVID-19 selepas negara itu melaporkan kenaikan harian baru sebanyak 723 kes.

8) Filipina isytihar Aidiladha sebagai cuti umum

Presiden Rodrigo Duterte turut menasihatkan masyarakat Islam negara supaya mematuhi peraturan penjarakan sosial semasa perayaan.

9) Banjir timpa bandar Daejun, ratusan kediaman alami kerosakan

Ratusan kediaman di bandar Daejun, Korea Selatan mengalami kerosakan akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda sejak awal pagi Khamis.

10) Vietnam catat sembilan kes baharu positif COVID-19

Vietnam pada Khamis merekodkan sembilan lagi kes tempatan baharu jankitan COVID-19 yang dilaporkan ada kaitan dengan Bandar Da Nang.