KUALA LUMPUR :ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 13 Oktober 2020.

1. COVID-19: Kes di Amerika Syarikat kini melebihi 7.8 juta

JUMLAH kes positif COVID-19 di Amerika Syarikat kini melebihi 7.8 juta kes.
Menurut data oleh Universiti Johns Hopkins, jumlah keseluruhan kes di negara itu kini adalah 7,836,680 dengan 215,549 kematian.

2. COVID-19: Jemaah menghidap sakit kronik disaran tangguh hasrat tunai umrah

JEMAAH yang menghidap penyakit kronik disaran menangguhkan ibadah umrah bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan pada Isnin, mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetis, tekanan darah tinggi, obesiti serta sakit jantung dinasihatkan menangguhkan hasrat mereka.

3. COVID-19: Kes jangkitan global 38 juta, kematian 1.08 juta

KES positif global COVID-19 kini mencecah 38,006,121 susulan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Data terbaharu John Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.8 juta kes jangkitan.

4. COVID-19: Jangkitan meningkat, Republik Czech laksana sekatan baharu, SOP lebih ketat

REPUBLIK Czech melaksanakan sekatan baharu pada Selasa selepas negara itu merekodkan jumlah jangkitan tertinggi.

Pada Rabu, peraturan lebih ketat dikuatkuasakan dengan semua sekolah ditutup sekurang-kurangnya hingga 2 November, sementara bar, kelab dan restoran juga tidak dibenarkan beroperasi.

5. COVID-19: Akibat 12 kes baharu, 9 juta penduduk disaring dalam 5 hari

SERAMAI 9 juta penduduk Qingdao, China mula menjalani ujian saringan COVID-19 selepas 12 kes baharu dikesan di sebuah hospital.

Ujian saringan besar-besaran itu dijalankan selama lima hari mulai Isnin, ke atas setiap penduduk meskipun jumlah kes baharu masih rendah.

6. Peserta jatuh sakit, Johnson & Johnson tangguh kajian vaksin COVID-19

KAJIAN vaksin COVID-19 oleh Johnson & Johnson ditangguh buat sementara waktu kerana salah seorang peserta didakwa jatuh sakit.

Namun, Johnson & Johnson mengesahkan perkara itu namun tidak menjelaskan dengan terperinci jenis penyakit yang dihidapi peserta terbabit.

7. Facebook larang iklan anti-vaksin

Platform media sosial Facebook mengumumkan akan melarang sebarang iklan yang tidak menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin.

Sebelum ini, Facebook hanya melarang iklan anti-vaksin yang dikenal pasti oleh institusi rasmi seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat.

8. Banjir besar landa Asia Selatan, jutaan penduduk hilang tempat tinggal

Bencana alam telah menyebabkan 9.6 juta orang di seluruh Asia Selatan terjejas akibat hujan lebat dengan ratusan ribu bergelut untuk mendapatkan makanan dan ubat-ubatan.

Setakat ini,kira-kira 550 orang telah terkorban di India, Bangladesh dan Nepal akibat banjir besar dan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal sejak banjir bermula Jun lalu.