ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 21 Oktober 2020.

1) AS saman Google kerana monopoli tidak sah

Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman ke atas Google, mendakwa syarikat itu mencabuli Akta Persaingan bagi mengekalkan monopoli dalam enjin pencarian dan pengiklanan dalam talian.

Saman ini disifatkan yang terbesar pernah difailkan pihak kawal selia AS ke atas sebuah syarikat teknologi.

2)Thailand gantung operasi sebuah stesen TV dalam talian

Mahkamah Jenayah Thailand pada Selasa menggantung perkhidmatan stesen TV dalam talian susulan liputannya berhubung protes anti kerajaan.

3) Kebakaran landa Colorado, ribuan penduduk terpaksa berpindah

Kira-kira 26 buah rumah musnah dalam kebakaran hutan yang melanda Boulder Country, Colorado, sejak Sabtu.

Kebakaran hutan terbesar dalam sejarah Colorado yang bermula dari Pusat Pendidikan Calwood itu telah memaksa ribuan penduduk berpindah.

4) COVID-19: Kes positif seluruh dunia cecah 40.65 juta

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi 40 juta.

Ini berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

5) COVID-19: Lebih 1.12 juta maut setakat ini

Korban virus COVID-19 di peringkat global kini melebihi 1.12 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan jumlah kumulatif terkini adalah 1,122,036.

6) Tunang Jamal Khashoggi saman Putera Mahkota Arab Saudi

Tunang Jamal Khashoggi memfailkan saman sivil ke atas Putera Mahkota Arab Saudi atas dakwaan mengarahkan pembunuhan kolumnis Washington Post itu.

Hatice Cengiz memfailkan saman tersebut di Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

7) COVID-19: Jepun tawar Indonesia pinjaman US$473 juta

Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga pada Selasa berkata akan memberi pinjaman 50 bilion Yen Jepun (US$473 juta) kepada Indonesia dengan mengenakan kadar faedah yang rendah, dalam usaha membantu Jakarta membendung COVID-19.

8) Dua terbunuh dalam kejadian letupan di barat London

Dua orang terbunuh dalam kejadian letupan dan runtuhan bangunan di sebuah kedai di barat London, pada Rabu.

9) Trump pertimbang siar wawancaranya dengan CBS lebih awal

Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk menyiarkan wawancaranya dengan CBS News sebelum tarikh sebenar tayangan, pada Ahad, bagi memastikan "ketepatan laporan," lapor agensi berita Sputnik.

10) 18 nelayan diterbangkan dari Moscow ke N. Zealand, disahkan positif COVID-19

Seramai 18 nelayan yang diterbangkan ke New Zealand dari Moscow minggu lalu disahkan positif COVID-19.

Menurut pihak berkuasa, seramai 235 nelayan dari Rusia dan Ukraine berada dalam pesawat yang disewa tiga syarikat perikanan.