KUALA LUMPUR :ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 30 Disember 2020.

1) Indonesia catat 8,002 kes jangkitan baharu COVID-19

Indonesia mencatatkan 8,002 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 735,124 kes.

Rekod tertinggi kes baharu setakat ini ialah pada 3 Dis lepas, dengan catatan 8,369 kes.

2) Beberapa siri gempa susulan berlaku di Croatia

Beberapa siri gempa susulan berlaku di bandar Croatia sehari selepas gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang turut menyebabkan tujuh maut, manakala puluhan yang lain cedera serta kerosakan teruk di beberapa perkampungan.

3) Rundingan perdagangan pasca-Brexit ditandatangani secara rasmi

Pegawai tertinggi Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi menandatangani rundingan perdagangan pasca- Brexit bersama United Kingdom.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel meletakkan pen dan kertas sebagai simbolik perjanjian dalam satu majlis di Brussels.

4) Vaksin COVID-19: Turki terima tiga juta dos Sinovac 

Penghantaran pertama vaksin yang dibangunkan oleh syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac dilaporkan tiba di Turki, selepas ditangguhkan selama dua minggu.

Sebuah pesawat yang membawa tiga juta dos vaksin CoronaVic itu mendarat di ibu negara, Ankara pada pagi Rabu.

5) Vaksin Sinopharm capai 79 peratus keberkesanan, pohon kelulusan di China

CHINA National Biotec Group Co (CNBG) mengesahkan vaksin yang dibangunkannya mampu mencegah COVID-19 dalam 79.3 peratus mereka yag diuji, sekali gus membolehkannya memohon kelulusan untuk memulakan proses vaksinasi untuk kegunaan awam.

6) UK luluskan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca

United Kingdom (UK) pada Rabu menjadi negara pertama meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford bagi menghadapi wabak itu terrmasuk varian baharu yang dikesan.

7) Jururawat jadi individu pertama di Singapura terima vaksin COVID-19

Jururawat berusia 46 tahun menjadi individu pertama di Singapura menerima vaksin COVID-19 buatan Pfizer-BioNTech, yang merupakan sebahagian kempen imunisasi virus itu.

8) Colorado kesan kes pertama babitkan varian baharu COVID-19 

NEGERI Colorado mencatatkan kes pertama di Amerika Syarikat membabitkan varian baharu COVID-19, yang asalnya dari Britain.

Gabenor Colorado, Jared Polis melalui ciapan Twitter miliknya berkata, pihaknya menemui varian COVID-19 tersebut, yang cepat menular, sebagaimana dikesan pertama kali di United Kingdom (UK).

9) Kamala Harris terima dos pertama vaksin COVID-19

Bakal naib presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris pada Selasa menerima dos pertama vaksin COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

10) Rajinikanth umum tidak akan sertai politik

BINTANG popular India, Rajinikanth membatalkan hasrat menyertai dunia politik atas faktor kesihatan, yang dianggap satu petanda dari Tuhan.

Pelakon berusia 70 tahun itu mengumumkan perkara itu di Twitter rasminya pada Selasa, beberapa hari selepas keluar daripada hospital kerana dirawat akibat mengalami tekanan darah tinggi.