ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 18 Januari 2022.

1. Gunung Berapi | Tiga kematian direkodkan di Tonga

Selepas beberapa hari gagal menghubungi penduduk di Tonga, pihak berkuasa mengesahkan tiga kematian pertama dikesan akibat letusan gunung berapi dan tsunami yang melanda pada Sabtu. Bagaimanapun, angka korban dikhuatiri terus meningkat, termasuk di beberapa kawasan rendah yang masih gagal diakses sehingga kini.

2. Usaha korporat berkembang, tetapi lebih banyak diperlukan untuk penuhi cabaran karbon sifar bersih - Kajian

Pada 2019, hanya 10 peratus daripada pelepasan global dilindungi oleh ikrar kerajaan 29 negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih.

3. Vaksin COVID-19 | Moderna akan hasilkan dos untuk COVID-19 & selesema

Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel berkata ia sedang mengusahakan dos penggalak satu suntikan untuk COVID-19 dan selesema. Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berharap akan mempunyai gabungan vaksin penggalak bagi kegunaan pada tahun seterusnya.

4. Konflik Asia Barat | Houthi dakwa di belakang serangan Abu Dhabi

Kumpulan Houthi pada Isnin mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap serangan yang menyasarkan sebuah kilang pemprosesan minyak di Abu Dhabi. Kenyataan yang disiarkan di televisyen itu susulan serangan dron yang mengorbankan tiga nyawa.

5. Indonesia rekod 840 kes Omicron sebulan

Penularan varian baharu COVID-19, Omicron di Indonesia mengalami peningkatan ketara dengan 840 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan negara itu dalam tempoh sekitar sebulan sahaja.

6. Sotong kurita jarang ditemui dilihat di Australia

Seorang ahli biologi marin di Queensland menemui spesies sotong kurita pelangi yang jarang ditemui ketika sedang melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Lady Elliot, Great Barrier Reef.

7. DAVOS Agenda 2022: Ke arah India yang 'hijau, bersih, lestari dan boleh dipercayai' - Modi

Perdana Menteri India Narendra Modi menyeru kepada dunia agar memainkan peranan lebih efektif dalam memastikan amalan sistem pembuangan sisa sampah dengan betul ke arah gaya hidup yang lebih lestari.

8. 22 maut, lebih 700 rumah musnah gempa bumi landa Afghanistan

Gempa berukuran 5.6 pada skala Richter itu yang mengegarkan kawasan sempadan Turkmenistan turut menyebabkan kemusnahan pada ratusan kediaman, menurut pihak berkuasa tempatan.

9. Vaksin COVID-19: Seluruh populasi dunia perlu divaksin

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar seluruh individu di dunia ini divaksinasi bagi melindungi diri dari COVID-19 dan sebagai jalan keluar dari pandemik.

10. Kubur Upin Ipin dijumpai di Indonesia? 'Atok' beri penjelasan

Les' Copaque Production Sdn Bhd pada Isnin menafikan khabar angin bahawa watak kartun terkenal Malaysia, Upin dan Ipin dilaporkan 'meninggal dunia'. Ia susulan selepas tular sebuah rakaman video di laman TikTok memaparkan dua kubur yang tertulis nama 'Upin dan Ipin' didakwa temukan di Sulawesi Tengah, Indonesia.