Bertan-tan sampah dari Kanada yang ditinggalkan di Filipina akhirnya kembali ke tempat asalnya pada Sabtu (29 Jun), sekali gus menoktahkan ketegangan diplomatik berkaitan kesedaran negara-negara Asia yang menerima bahan terbuang dari seluruh dunia.

Agensi berita AFP melaporkan, sebuah kapal kargo yang membawa 69 buah kontena sampah sudah berlabuh di pelabuhan di Vancouver.

Semua sampah itu akan dibakar di loji yang menukarkan bahan buangan menjadi tenaga, kata sumber rasmi tempatan.

Konflik tentang sampah itu bermula sejak tahun 2013, apabila syarikat Kanada menghantar kontena-kontena yang dilabel dengan ‘plastik guna semula’ ke Filipina, menggunakan kapal.

Penghantaran itu sebenarnya mengandungi campuran kertas, plastik, elektronik dan bahan buangan isi rumah, termasuk sampah-sarap dari dapur dan juga lampin bayi, walaupun undang-undang Filipina melarang pengimportan sampah campuran.

Sebahagian daripada sampah itu dilupuskan di Filipina, namun kebanyakan yang lain disimpan di pelabuhan negara itu selama bertahun-tahun.

Isu tersebut mencemarkan hubungan dua hala selama bertahun-tahun, namun ketegangan mengenainya mula tercetus pada April lalu apabila Presiden Rodrigo Duterte mengancam untuk memulakan ‘peperangan’ menentang Kanada sekiranya sampah itu tidak diambil semula.

BACA: Kanada terima kembali 'kiriman' sampah dari Filipina

Kanada pada awalnya melanggar tarikh 15 Mei untuk berbuat demikian, namun satu tarikh baharu telah diatur untuk membawa sampah itu pulang ke Kanada.

Menteri Alam Sekitar Kanada, Catherine McKenna pada Khamis berkata: "Kami komited dengan FIlipina dan sedang bekerjasama rapat dengan mereka".

Kebimbangan global tentang pencemaran plastik dicetuskan oleh imej-imej yang menunjukkan sungai-sungai tercemar di Asia Tenggara dan kematian hidupan marin yang di dalam perutnya mengandungi berkilo-kilo sampah.

Kuantiti bahan buangan plastik yang ebsar sejak itu dihantar ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.