Selepas gagal dengan percubaan pertama menggunakan ular kapak, seorang lelaki di India ditahan atas tuduhan membunuh isterinya dengan melepaskan ular tedung ke dalam bilik wanita itu.

Walaubagaimanapun, percubaan menggunakan ular kapak masih belum mengakhiri hidup isterinya yang hanya cedera dan menerima rawatan selama dua bulan.

Lelaki dikenali sebagai Sooraj, 27, akhirnya memutuskan menggunakan ular berbisa dipercayai spesies Russell's viper untuk membunuh isterinya, Uthra pada Mac lalu.

Pegawai polis di selatan Kerala berkata, menerusi siasatan rakaman perbualan telefon mendapoati, Sooraj menghubungi pengendali ular dan juga menonton video mengenai reptilia itu di internet.

"Ketika mangsa masih dalam proses pemulihan di rumah ibu bapanya, Sooraj melemparkan seekor ular tedung ke atas isterinya yang sedang tidur.

"Dia duduk di dalam bilik itu bersama Uthra seolah-olah tiada apa yang berlaku serta menjalani rutin hariannya seperti biasa tetapi pada keesokan hari kononnya menyedari Uthra dipatuk ular selepas mendengar jeritan ibu mangsa,” lapor polis kepada AFP.

Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam pada itu, ibu bapa mangsa, berasa curiga apabila Sooraj cuba mendapatkan hak milik harta isterinya hanya beberapa hari selepas kematian mangsa.

Polis berkata, perkahwinan pasangan itu membabitkan hantaran yang besar termasuk 100 syiling emas, kereta baharu dan wang tunai kira-kira 500,000 Rupee (RM28,734).

Difahamkan, Sooraj bimbang hantaran kahwinnya perlu dipulangkan sekiranya dia memilih untuk menceraikan Uthra sekali gus mendorongnya untuk menggunakan ular sebagai ‘senjata’ pembunuhan.