Beberapa universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS) mula menghentikan penggunaan alat telekomunikasi jenama Huawei dan produk-produk lain dari China.

Langkah drastik itu diambil bagi mengelakkan pentadbiran universiti kehilangan dana kerajaan yang diperuntukkan di bawah undang-undang keselamatan nasional yang baharu di bawah pentadbiran presidennya, Donlad Trump.

AS mendakwa China mengeluarkan peralatan telekomunikasi bertujuan membolehkan kerajaan mereka mengintip pengguna di negara luar, termasuk penyelidik yang bertanggungjawab membangunkan teknologi baharu.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Beijing dan syarikat-syarikat terbabit di negara tembok besar itu.

University of California (UC) di Berkeley muncul salah sebuah pusat pengajian yang berbuat demikian dengan menghentikan sistem persidangan video Huawei, menurut sumber seperti dilaporkan Reuters.

University of California (UC) di Berkeley menghentikan sistem persidangan video Huawei, - Gambar Reuters







Manakala kampus UC di Irvine pula kini sedang dalam usaha menggantikan lima sistem audio dan video yang turut dikeluarkan oleh Huawei.

Ini termasuk University of Wisconsin yang juga sedang dalam proses menganalisis dan mengkaji pembekal baharu mereka.

Dalam pada itu, UC San Diego telah mula menyahut seruan Trump sejak Ogos tahun lalu apabila tidak lagi menerima dana atau menjalinkan sebarang kerjasama dengan Huawei dan dan pembekal peralatan audio-video China yang lain, mengikut memo dalaman, lapor Reuters.

Langkah itu secara tidak langsung memberi isyarat kepada pusat pengajian di AS agar menjarakkan universiti mereka daripada sebarang produk telekomunikasi dari China yang sekian lama menjadi pembekal selain menaja penyelidikan akademik.

Selain larangan penggunaan alat telekomunikasi, Jabatan Negara AS turut memendekkan tempoh visa untuk pelajar siswazah China selain sedang mempertimbangkan sekatan baharu untuk kelompok yang ingin memasuki AS.

Pelajar China setakat ini merupakan kumpulan pelajar antarabangsa terbesar di AS dan menyediakan sumber pendapatan yang lumayan untuk universiti.

Trump memperkenalkan Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) pada Ogos tahun lalu yang menghalang mana-mana penerima dana kerajaan daripada menggunakan perkhidmatan alat telekomunikasi Huawei atau ZTE.

Turut disenaraihitamkan adalah peralatan audio dan video dari China iaitu Hikvision, Hytera, Dahua Technology dan jenama-jenama lain yang berkaitan.

Dalam perkembangan yang sama, Universiti Oxford di United Kingdom juga mula menghentikan kerjasama dengan Huawei sekali gus mengumumkan tidak lagi menerima pembiayaan untuk sumbangan penyelidikan berkuat kuasa bulan ini.