SEKALI lagi, fenomena Kill This Love Blackpink mencipta sejarah dengan memecah rekod terpantas dalam mendapat jumlah tontonan seramai 100 juta hanya dalam masa tiga hari di laman YouTube.

Ia menjadi video muzik YouTube yang paling banyak ditonton dalam tempoh 24 jam pertama selepas ia dimuat naik pada 5 April lalu, dengan meraih 56.7 juta tontonan.

Yang terkini, video muzik dari album baharu itu sudahpun mencecah seramai 136 juta tontonan dalam masa empat hari sahaja.

Kill This Love juga mendapat sambutan luar biasa di iTunes, dengan berada di kedudukan nombor satu di pasaran Amerika Syarikat serta menjadi kumpulan gadis Asia yang pertama mencipta rekod tersebut.

Blackpink yang dianggotai oleh Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose adalah aset besar YG Entertainment, salah satu label muzik terbesar di Korea.

Lagu hit terbaharu Blackpink ini menjadi tayangan perdana YouTube yang terbesar hingga kini, dengan rekod seramai 979,000 penonton dalam masa serentak.

Ia sekali gus mencantas rekod tayangan perdana YouTube Ariana Grande sebelum ini yang mendapat 829,000 penonton dalam satu masa, menerusi lagu popularnya, Thank You, Next pada Disember lalu.

Walaupun sudah mempunyai kelompok peminat besar di Asia dan seluruh dunia sejak penampilan sulungnya pada tahun 2016, Blackpink kini bersedia mengikuti jejak BTS iaitu sebagai kumpulan K-Pop seterusnya untuk memasuki arus perdana di pasaran Barat.