Sekurang-kurangnya 34 maut manakala 60 yang lain cedera selepas sebuah bom kereta oleh pengebom bunuh diri meledak di luar sebuah bangunan bank di Laskar Gah, dalam wilayah Helmand ke selatan negara Afganistan.

Menurut jurucakap gabenor wilayah itu, Omar Zwak, ramai mangsa dalam kejadian petang Khamis itu terdiri daripada orang awam dan anggota pasukan keselamatan yang sedang beratur untuk mengeluarkan wang dari New Kabul Bank.

Kumpulan Taliban menerusi laman Twitter mereka, mengakui bertanggungjawab melancarkan serangan dan mendakwa letupan telah meragut 73 anggota pasukan keselamatan dan mencederakan 44 yang lain.

Selain bangunan bank yang musnah teruk, deretan kedai di kawasan itu turut musnah. Kejadian berlaku ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan Aidilfitri.

Situasi keselamatan di negara itu semakin merosot sejak tentera antarabangsa menamatkan operasi tempur di negara itu.

Situasi turut menyebabkan Amerika Syarikat menimbangkan semula untuk menghantar 3,000-5,000 anggota tentera tambahan kepada 8,400 anggota tentera negara itu yang sedia ada.