Penemuan bom perang dunia ke-2 seberat 225 kilogram menggemparkan penduduk di pekan Fano, Itali pada Selasa.

Susulan itu, bom sepanjang lebih satu meter itu dipindahkan ke laut Adriatic pada Rabu sebelum diletupkan.

Proses pemindahan ke dasar laut dengan jarak dua batu nautika dari pesisir pantai itu dilakukan oleh pihak tentera Itali.

Menurut laporan media Itali, bom yang mengandungi bahan letupan TNT (trinitrotoluene) itu ditemui oleh pekerja yang sedang menggali sebuah tapak projek berdekatan pantai.

Penemuan menggemparkan itu memaksa 23,000 penduduk tempatan berpindah dan dilarang berada dalam jarak 1.8 kilometer dari kawasan penemuan.

Semasa bom itu ditemukan, orang awam yang berada di hospital dan stesen keretapi turut dipindahkan .

Sekolah dan pejabat berdekatan turut ditutup.

Bagi menjayakan proses pemindahan ke dasar laut itu, pakar pemusnah bom dari unit tentera Itali ditugas mengalihkan bom tersebut dengan menggunkan kren.

Bom tersebut akan ditinggalkan sekurang-kurangnya enam hari di situ sebelum ia diletupkan.