Sebuah bongkah ais gergasi dilaporkan sudah meretak dan terpisah dari Antartika dan menggugat keselamatan kapal-kapal di sekitar benua itu, kata saintis pada Rabu.

Bongkah ais seberat satu trilion tan dan berukuran 5,800km persegi itu terpisah dari rak ais Larsen C di Antartika di antara 10 dan 12 Julai, kata saintis di Universiti Swansea dan British Antartic Survey.

Difahamkan, bongkah ais tersebut berada dalam keadaan hampir pecah untuk beberapa bulan.

Saintis memantau corak pergerakan pada rak ais menggunakan satelit Agensi Angkasa Eropah sepanjang musim sejuk di Antartika.

“Bongkah itu adalah antara yang terbesar direkodkan dan perkembangan masa depan adalah sukar untuk diramal,” kata Profesor di Universiti Swansea dan penyiasat utama Projek MIDAS, Adrian Luckman yang telah memantau pergerakan rak ais selama bertahun-tahun.

"Ia mungkin kekal dalam satu bahagian, tetapi lebih cenderung untuk pecah menjadi serpihan.

“Beberapa ais mungkin kekal di kawasan tersebut untuk beberapa dekad, manakala bahagian-bahagian gunung ais mungkin hanyut ke utara mencari perairan yang lebih panas,” tambahnya.

Jadi, pecahan ais ini menambah risiko kepada kapal-kapal di sekitar benua tersebut.

Walaupun semenanjung itu berada di luar laluan perdagangan utama tetapi ia adalah destinasi utama bagi kapal pesiar yang melawat dari Amerika Selatan.