Susulan langkah Brexit, Kesatuan Eropah (EU) berkata pihaknya kini sedia untuk menguatkuasa pelan kontingensi bagi melindungi pengangkutan udara dan pasaran kewangannya.

Tindakan itu diambil sebagai persediaan sekiranya Britain meninggalkan EU tanpa sebarang rundingan, kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Valdis Dombrovskis.

EU memberi jaminan, warga Britain yang tinggal di benua itu akan terus menikmati hak residen dengan syarat negara itu bersetuju dengan pendekatan berkenaan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Britain boleh berundur dari EU tanpa sebarang kesan, cuma ia bagi memastikan wujud tempoh peralihan secukupnya.

Suruhanjaya Eropah dalam pada itu menjelaskan keperluan menguatkuasa pelan kontingensi pada 30 Mac, 2019.

Ini bertujuan mengehadkan kesan ketara disebabkan senario tiada perjanjian.

Bagaimanapun, EU menaruh harapan tinggi pelan itu tidak perlu dikuatkuasakan.

Sebaliknya, ia berharap Perdana Menteri Britain, Theresa May akan mendapat sokongan secukupnya.