Susulan ketegangan hubungan diplomatik antara Rusia-Britain, Moscow pada Sabtu menggesa agar Britain membawa pulang lebih 50 lagi diplomatnya dari Rusia.

Rusia sebelum ini telah mengusir 23 diplomat Britain susulan dakwaan negara itu bertanggungjawab meracun bekas perisiknya pada 4 Mac lalu.

Gesaan pengurangan pegawai diplomatik Britain di Rusia itu dinyatakan kepada Duta Britain ke Rusia, Laurie Bristow pada Jumaat.

Rusia memberikan tempoh sebulan kepada Britain untuk mengurangkan diplomatnya di Rusia seperti mana bilangan diplomat Rusia di Britain.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata ini bermakna Britain perlu mengurangkan jumlah diplomatnya yang kini dianggarkan seramai 50 orang di Rusia.

"Kami mahu keseimbangan. Britain memiliki lebih 50 diplomat di Rusia berbanding jumlah diplomat Rusia di Britain," jelasnya.

Kekeruhan hubungan Rusia-Britian semakin ketara apabila pada Jumaat, pihak berkuasa Britain telah mengarahkan pemeriksaan rapi dijalankan ke atas sebuah pesawat milik Rusia, Aeroflot di Lapangan Terbang Heathrow.

Kementerian Luar Rusia pada Sabtu menggesa penjelasan diberikan berhubung pemeriksaan tersebut yang dilihat sebagai tidak masuk akal.

Permohonan penjelasan itu telah diutarakan kedutaan Rusia di London.

Jelas kementerian itu lagi jika Britain gagal mengemukakan penjelasan, Rusia tidak akan teragak-agak untuk melakukan perkara sama ke atas pesawat milik Britain selepas ini.