Kanak-kanak telah digunakan sebagai perisik dalam operasi rahsia terhadap pengganas, geng dan pengedar dadah oleh agensi risikan serta polis Britain, menurut laporan media tempatan.

Perkara itu terbongkar selepas Jawatankuasa Kajian Sekunder Dewan Pertuanan menyuarakan kebimbangan mereka tentang penggunaan golongan bawah umur sebagai sumber risikan susulan kerajaan mencadangkan melanjutkan masa penglibatan mereka yang berusia di bawah usia 18 tahun dalam operasi itu kepada empat bulan berbanding 30 hari sebelum ini.

Tindakan itu turut mencetuskan bantahan banyak pihak dan antaranya adalah bekas Menteri Brexit, David Davis yang menyifatkan ia sebagai satu 'jenayah moral'.

Downing Street bagaimanapun mempertahankan amalan itu dengan menyatakan golongan tersebut 'jarang digunakan'.

Lapor BBC memetik kenyataan Pejabat Dalam Negeri, penggunaan perisik bawah umur itu membantu mencegah masalah keganasan geng dan sindiket pengedaran dadah.

"Remaja sebagai sumber risikan (CHIS) hanya digunakan apabila perlu dan bersesuaian. Kita tidak ada cara lain untuk mendapatkan maklumat tanpa penglibatan mereka kerana golongan itu mempunyai akses unik kepada maklumat sulit," jelas laporan itu. - CNA