Britain menegaskan akan tetap melaksanakan perintah kuarantin selama 14 hari kepada pelancong yang pulang dari Sepanyol.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, langkah itu dilaksanakan dengan mengambil kira tanda-tanda gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di beberapa bahagian di Eropah.

"Kita sudah nampak tanda-tanda sekarang ini di Sepanyol dan beberapa tempat lain di seluruh dunia.

"Saya takut kerana sudah ada tanda-tanda gelombang kedua di negara lain, jadi tanggungjawab kita untuk bertindak dengan pantas dan tegas untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan mengawal pelancong yang tiba dari tempat yang berisiko tinggi," katanya yang dipetik laporan AP pada Selasa.

Di Eropah, peningkatan jangkitan di Sepanyol dan negara-negara lain menimbulkan kebimbangan dalam tempoh beberapa minggu selepas mengambil keputusan membuka kembali sempadan negara untuk memulihkan semula sektor pelancongan.

Johnson berkata, semua pihak dinasihatkan untuk mengehadkan perjalanan tidak penting ke seluruh Sepanyol termasuk di Kepulauan Balearic Canary.