Seekor buaya telah menyebabkan keadaan jadi huru-hara apabila tiba-tiba muncul di tengah-tengah sebuah bandaraya yang dilanda banjir di India.

Lapor Independent.co.uk, buaya yang sepanjang lima kaki itu ditemui penduduk bandar Vadodara di wilayah Gujarat, India.

Air mula naik di Vadodara setelah hujan lebat memecahkan tebing sungai yang berdekatan bandar berkenaan.

Salah seorang penduduk sempat merakamkan kejadian tersebut ketika buaya itu dilihat muncul semasa sedang cuba memakan seekor anjing.

Buaya itu dilihat telah menggigit kaki anjing berkenaan dan berusaha menarik anjing itu ke dalam air tetapi gagal.

Penduduk Gujarat dilaporkan telah menghabiskan masa satu jam memburu buaya tersebut dan berjaya menangkap haiwan berkenaan.

Vadodara, bandar utama di barat India ditenggelami air setinggi 553 milimeter selepas hujan lebat turun selama 12 jam memecahkan tebing sungai Vishwamitri.

Sungai itu didiami oleh lebih 200 ekor buaya. - Agensi