Seorang kanak-kanak berumur enam tahun didakwa antara sekumpulan lelaki yang terlibat dalam kes rogol beramai-ramai di Pune, Maharashtra, barat India.

Kanak-kanak terbabit bersama empat lagi rakannya yang berusia sembilan hingga 18 tahun dikatakan merogol kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun sepanjang tempoh lima bulan, kata polis.

Perbuatan keji itu terbongkar apabila mangsa dilaporkan mengadu mengalami sakit perut dan dibawa ke klinik.

Memetik laporan dailymail, polis tempatan Inspektor Milind Gaikwad berkata doktor yang memeriksa mangsa mendapati ada sesuatu yang tidak kena pada kanak-kanak perempuan itu.

"Doktor meminta ayah mangsa mengarahkan isterinya untuk datang ke klinik.

"Sebaik sahaja tiba, doktor memberitahu ibu mangsa bahawa anaknya mungkin telah dirogol," katanya.

Polis turut berkata kanak-kanak perempuan dan suspek terbabit tinggal di kawasan perumahan serta pergi ke sekolah yang sama.

"Mangsa mendedahkan bahawa lima suspek terbabit membawanya ke sebuah pangsapuri berdekatan selain melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa.

"Mangsa memberitahu bahawa suspek yang berumur 18 tahun itu telah datang ke rumahnya lima bulan yang lalu dan berjanji memberikan gula-gula kepada kanak-kanak perempuan malang tersebut.

Lima tertuduh telah didakwa atas tuduhan rogol.