GEREJA Notre Dame di Paris berkemungkinan dipasang dengan bumbung baharu yang memanfaatkan tenaga solar dan membekalkan kuasa kepada bangunan berhampiran, jika reka bentuknya diterima.

Dibuat dari panel kaca berbentuk berlian yang disokong dengan balok kayu berlapis, Vincent Callebaut Architectures mendakwa ia akan menjadikan mercu tanda ikonik yang baharu, lapor portal berita Independent.

Panel dibina akan menyimpan tenaga suria dalam sel bahan api hidrogen. Memandangkan adanya lebihan tenaga yang disimpan, ia boleh disalurkan ke bangunan berhampiran.

Bahagian bumbung juga akan menempatkan sebuah taman yang akan ditanam buah-buahan dan sayur-sayuran untuk golongan miskin dan tiada tempat tinggal di bandar itu.

Ini merupakan salah satu daripada beberapa reka bentuk yang dikemukakan selepas kerajaan Perancis mengumumkan persaingan antarabangsa untuk reka bentuk bumbung baharu, susulan kebakaran yang memusnahkan bumbung lama, awal tahun ini.