Polis Metropolitan London pada Selasa menerima panggilan kecemasan untuk menyiasat bungkusan-bungkusan mencurigakan di tiga hab pengangkutan utama di kota itu - Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dan London City Airport serta di stesen kereta api Waterloo.

Bungkusan-bungkusan itu ditemui di dalam bangunan berdekatan kedua-dua lapangan terbang dan di dalam stesen Waterloo, namun tiada perkhidmatan yang terjejas.

Pasukan polis antikeganasan mengesahkan bahawa setiap bungkusan itu mengandungi bahan peledak.

"Bungkusan tersebut berupaya mencetus kebakaran jika dibuka," kata polis.

Di Heathrow, pasukan bertindak kecemasan polis sudah mengawal kawasan di bahagian pentadbiran lapangan terbang di Compass Centre dan telah mengarahkan orang ramai keluar dari bangunan.

"Lapangan terbang Heathrow Airport kekal beroperasi, jadual penerbangan tidak terjejas dan para penumpang dibenarkan meneruskan perjalanan mereka.

"Pihak polis melihat perkara ini sebagai perbuatan jenayah dan kami akan meneruskan siasatan," ujar pihak polis yang meneliti motif sama ada tindakan meninggalkan bungkusan bom tersebut berkaitan antara satu sama lain.

Jurucakap bagi pihak polis berkata, bangunan itu perlu dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Anggota tindakan khas telah menangani insiden itu dengan memastikan bungkusan-bungkusan tersebut selamat," ujarnya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.