PERSEMBUNYIAN selama 15 tahun seorang ketua gengster Jepun atau yakuza berakhir selepas dia ditahan polis Thailand pada Rabu.

Puncanya gara-gara gambar tatu atau cacah pada badannya menjadi tular di laman Facebook.

Shigeharu Shirai diburu kerana membunuh musuhnya yang merupakan anggota kumpulan yakuza lain pada 2003.

Gambar lelaki dalam buruan berusia 74 tahun itu yang menyerlahkan cacah pada badannya diambil seorang rakyat Thailand yang kemudian memuatnaiknya di Facebook tanpa mengetahui identiti sebenar Shirai.

Gambar berkenaan menunjukkan seorang lelaki tua yang kurus dengan keseluruhan bahagian belakang badan dan sebahagian besar dadanya dicacah. Ketika ia dirakam Shirai sedang melepak bersama beberapa lagi warga emas di tepi jalan.

Turut kelihatan dalam gambar itu sebahagian jari kelengkingnya yang putus. Adalah menjadi amalan biasa bagi anggota Yakuza untuk memotong jari sendiri sebagai hukuman bagi menebus kesalahan.

Gambar itu kemudiannya tular sehingga sampai ke pengetahuan polis Jepun yang kemudian memohon bantuan polis Thailand untuk mengesan dan menahan lelaki tersebut.

Shirai diberkas di bandar Lopburi, utara Bangkok dan akan diekstradisi ke Jepun bagi menghadapi pertuduhan bunuh. Dia juga berdepan dakwaan menyalahgunakan visa.

Menurut polis Thai, Shirai mengaku dirinya seorang anggota yakuza namun menolak dakwaan terlibat dalam pembunuhan berkenaan.

Dia meninggalkan Jepun pada 2005, dua tahun selepas kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

Yakuza yang menyamai kumpulan mafia telah menjadi sebahagian daripada budaya moden Jepun dengan jumlah anggotanya dianggarkan mencecah 60,000 orang.