Berita  | Dunia

Campur tangan Rusia: Pasukan Mueller syor Flynn tidak dipenjara

Campur tangan Rusia: Pasukan Mueller syor Flynn tidak dipenjara
Setakat ini, Flynn (gambar) satu-satunya anggota pentadbiran Trump yang mengaku bersalah ke atas dakwaan campur tangan Rusia pada pilihan raya presiden AS 2016. REUTERS/Fail
WASHINGTON: Pasukan Peguam Khas Amerika Syarikat (AS), Robert Mueller, pada Selasa mengesyorkan agar bekas penasihat keselamatan negara, Michael Flynn, tidak dihukum penjara.

Saranan dibuat atas alasan bahawa beliau telah "banyak membantu" dalam siasatan kes membabitkan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden pada 2016, lapor Bernama.

"Berdasarkan bantuan yang dihulurkan defendan serta pertimbangan lain seperti yang dinyatakan di bawah, satu hukuman paling ringan yang diperuntuk - termasuk yang tidak mengenakan hukuman penjara - adalah mencukupi dan wajar," menurut memorandum berkaitan hukuman yang difailkan pasukan Mueller.

Pasukan Mueller sebelum itu dilaporkan memfailkan dokumen yang menyatakan, berdasarkan garis panduan, hukuman penjara yang dicadangkan bagi kesalahan Flynn ialah sifar hingga enam bulan.

Memorandum itu menyatakan, "defendan telah memberi maklumat langsung berhubung kandungan dan konteks interaksi antara pasukan peralihan dan para pegawai kerajaan Rusia."
Satu hukuman termasuk tiada tempoh pemenjaraan terhadap Flynn, yang telah bertemu pasukan Mueller sebanyak 19 kali, adalah "mencukupi dan wajar," lapor media tempatan memetik kandungan memorandum itu.

Bagaimanapun, memorandum itu menyatakan, kesalahan Flynn adalah serius dan beliau "telah membuat banyak kenyataan palsu, kepada pelbagai entiti Jabatan Kehakiman (DOJ)."

BACA: Mungkin 'Yahudi' yang terlibat, bukan Rusia - Putin nafi ganggu pilihan raya AS 

Flynn, seorang jeneral tiga bintang yang bersara, telah dipaksa meletak jawatan pada 13 Feb 2017 kerana mengelirukan Naib Presiden Mike Pence dan pegawai lain mengenai hubungannya dengan Duta Rusia ketika itu, Sergey Kislyak, semasa tempoh peralihan presiden.

Flynn mengaku bersalah pada Disember 2017 kerana menipu FBI mengenai hubungannya dengan Rusia.

Beliau dijadual dijatuhi hukuman di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Columbia pada 18 Dis.

Setakat ini, beliau merupakan satu-satunya anggota pentadbiran Trump yang mengaku bersalah semasa siasatan Mueller ke atas dakwaan campur tangan Rusia pada pilihan raya presiden AS 2016.

BACA: Bekas Pengarah FBI dakwa Trump pecatnya untuk lemahkan siasatan agensi itu

Kerajaan Rusia telah menafikan dakwaan itu.

Trump telah berulang kali menyangkal bersekongkol dengan Rusia dan menyifatkan siasatan Mueller sebagai satu 'witch-hunt'.