BANGUNAN Capitol Amerika Syarikat (AS) ditutup selama kira-kira satu jam pada Isnin sebagai langkah berjaga-jaga susulan satu kebakaran kecil yang berlaku di kawasan berdekatan.

Ia dibuka semula setelah kebakaran dipadamkan, dalam kejadian yang berlaku ketika persediaan dibuat termasuk raptai, menjelang majlis angkat sumpah Joe Biden sebagai Presiden AS yang baharu.

"Sebagai langkah berwaspada, penutupan sementara kompleks Capitol AS dibuat. Tiada ancaman keselamatan terhadap orang ramai," menurut Secret Service menerusi Twitter.

6 Jan lalu, terjadi rusuhan yang melibatkan lima kematian apabila penyokong Presiden Donald Trump menyerbu bangunan Capitol dalam usaha menghentikan proses pengesahan undi elektoral untuk Biden.

Polis memaklumkan, langkah berjaga-jaga dan arahan penutupan sementara bangunan Capitol itu dikeluarkan pemangku ketua polis.

"Pegawai di bangunan Capitol diarah berlindung sementara kerja siasatan dijalankan," kata polis dalam satu kenyataan.

Pihak bomba memaklumkan, tiada kecederaan dalam kebakaran berdekatan yang telah dipadamkan dan tiada kebakaran di dalam kompleks Capitol.

Menjelang angkat sumpah jawatan Biden, ancaman kumpulan ekstremis yang dijangka melakukan demontrasi di bangunan-bangunan pentadbiran mendorong beberapa gabenor mengerahkan kekuatan anggota keselamatan.

Di beberapa negeri, tunjuk perasaan dan demonstrasi meletus menjelang pelantikan Biden sebagai Presiden AS ke-46 pada Rabu (20 Jan).

BACA: Kawalan keselamatan diperhebat menjelang angkat sumpah Joe Biden Rabu ini

BACA: Cabaran getir Joe Biden baik pulih negara sedang berpecah-belah