Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) memfailkan aduan rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak tindakan konkrit terhadap kerajaan Myanmar yang menindas masyarakat Rohingya negara itu.

Ketua Eksekutif CENTHRA Azril Mohd Amin berkata empat isu menjadi asas aduan badan bukan kerajaan itu, iaitu pelanggaran hak asasi wanita, hak asasi kanak-kanak, hak asasi kebebasan beragama dan hak asasi kumpulan minoriti.

"Walaupun terdapat beberapa resolusi (di peringkat antarabangsa), namun belum wujud sebarang bentuk penyelesaian konkrit serta tindakan tegas daripada masyarakat antarabangsa terhadap kezaliman berterusan tentera Myanmar ke atas penduduk Muslim Myanmar," katanya dalam kenyataan dari Geneva, hari ini.

Seramai tujuh felo dan peguam CENTHRA berada di Geneva, Switzerland sejak 28 Feb lalu untuk menghadiri sesi ke-34 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Palais Des Nations, Geneva.

Azril berkata CENTHRA akan terus mendesak institusi antarabangsa seperti PBB untuk memulakan tindakan berkesan bagi menangani isu pencabulan hak asasi manusia.

Katanya tindakan itu penting, lebih-lebih lagi menjelang pembentangan laporan penuh hasil misi Jurulapor Khas Bagi Situasi Hak Asasi di Myanmar, Yanghee Lee dari 9-20 Jan lalu pada 13 Mac ini.

"CENTHRA percaya bahawa tekanan berterusan seumpama ini, yang menyertai usaha masyarakat sivil sejagat, akan memberikan impak signifikan terhadap perakuan yang bakal diberikan Yanghee Lee kepada OHCHR, khususnya dalam menubuhkan sebuah suruhanjaya penyiasatan bebas ke atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan tentera Myanmar selama ini," kata Azril.

Awal bulan lepas, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) mengeluarkan laporan yang memperincikan kisah mangsa seperti kejadian rogol berkumpulan, pembunuhan termasuk bayi dan kanak-kanak, dipukul kejam dan mangsa hilang serta pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan negara itu.

Selain memberikan fokus khas mengenai nasib dan hak asasi manusia masyarakat Rohingya, CENTHRA juga membentangkan laporan Hak Asasi Manusia CENTHRA 2016 berdasarkan Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi Malaysia pada sesi itu, katanya.

Dari Geneva, delegasi CENTHRA dijadual berlepas ke London hari ini bagi mengemukakan keterangan di Tribunal Awam Tetap (PPT) mengenai jenayah kekejaman tentera Myanmar terhadap masyarakat Rohingya pada Isnin.

Delegasi itu akan hadir sebagai saksi pakar pada sidang dua hari itu bagi mengemukakan testimoni 35 penduduk Rohingya yang ditemu bual di Malaysia sejak lima minggu lepas.

-- BERNAMA