Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing mengakui syarikat itu membuat 'kesilapan' dalam mengendalikan sistem amaran kokpit bermasalah pada jet Max 737 sebelum dua nahas yang meragut 346 nyawa.

Dennis Muilenburg mengeluarkan kenyataan itu dan berjanji akan memberikan laporan yang telus ketika sidang media sebelum acara Paris Air Show semalam.

"Dengan jelas, kami mempunyai kesilapan dalam melaksanakan amaran," kata Muilenburg.

Sebelum ini, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah menyalahkan Boeing kerana tidak memberitahu pengawal selia selama lebih setahun bahawa penunjuk keselamatan pada kokpit pesawat yang jualannya paling terlaris tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Juruterbang juga turut menyuarakan kemarahan kerana Boeing tidak memaklumkan kepada mereka mengenai perisian baru yang telah menyebabkan nahas Lion Air di Indonesia dan pesawat milik Ethiopian Airline.

Sebagai meraih semula kepercayaan orang ramai, Muilenburg melahirkan keyakinan bahawa Boeing 737 Max akan terbang semula tanpa sebarang masalah.

"Kami akan mengambil masa untuk memastikan Max selamat," ujarnya lagi.

Difahamkan, model tersebut telah digantung di seluruh dunia selama tiga bulan dan perisian yang dibaiki itu perlu mendapat kelulusan pengawal selia sebelum ia dapat kembali beroperasi.