Ceritalah: Apabila gergasi Asia mengundi...

Ceritalah: Apabila gergasi Asia mengundi...
Prabowo Subianto berkempen, menjelang pemilihan presiden Indonesia pada 17 April 2019. Beliau mendapat sokongan kuat akar umbi dengan menggerakkan kuasa tokoh dan organisasi Islam yang konservatif. Team Ceritalah
PADA hujung minggu ini bermulalah musim pilihan raya Asia bagi tahun 2019. Dalam dua bulan akan datang, 1.2 bilion orang Asia akan membuang undi, bermula dengan Thailand (52 juta pengundi) pada 24 Mac, diikuti dengan India (900 juta), Indonesia (193 juta) dan Filipina (64 juta).

Begitu banyak pengundi! Tetapi seperti biasa, amat sedikit orang di luar rantau ini - terutama orang Eropah dan Amerika - akan memberi perhatian. Itu adalah kerugian mereka. Apa yang berlaku di Timur sering jadi sebutan ramai di Barat: Filipina adalah pusat pencetus pada gempa pilihan raya yang akan memberi kesan hingga ke Britain dan Amerika.

Pada Mei 2016 lalu, datuk bandar sebuah bandar kecil, Rodrigo Duterte mengejutkan dunia apabila menang jawatan Presiden. Memegang kuasa hasil kombinasi toksik antara retorik seorang yang tegas dan penyebaran maklumat tidak benar atas talian, ikonoklas yang lasak ini muncul secara tiba-tiba menawan imaginasi popular rakyat Filipina.

Sebulan kemudian, pada Jun 2016, pengundi British mengelirukan pemerhati metropolitan dan juga peninjau suara apabila tanpa dijangka, telah memberi sokongan kepada langkah menarik keluar Britain daripada Kesatuan Eropah (EU), dikenali sebagai "Brexit". Dan kemudian, seperti kita maklum pada November, Donald Trump - seorang pemaju hartanah yang diragui, juga bintang rancangan realiti TV, yang menggunakan kaedah retorik Duterte dihiasi tarikan primordial terhadap keagungan kulit putih - memenangi Rumah Putih walaupun gagal meraih undi popular.

Tetapi, mari kita mula bercakap tentang geopolitik.



China akan mengikuti rapat pilihan raya-pilihan raya yang bakal diadakan. Setelah mengalami suatu tamparan diplomatik besar dengan kemenangan mengejut Dr Mahathir Mohamad di Malaysia tahun lalu, Beijing tidak akan mahu melihat perkara sama berulang.

Filipina di bawah Duterte (mengubah haluan anti-China oleh bekas Presiden Benigno Aquino III) adalah jelas pro-Beijing. Pilihan raya pertengahan penggal Filipina akan menjadi ujian penting kepada populariti dan polisi Duterte.

Jika barisan calon Senator beliau menang, beliau akan terus tidak mempedulikan peluasan ketenteraan China di Laut China Selatan dengan hanya memperoleh manfaat ekonomi terhad daripada pelaburan Beijing.
Thailand tidak pernah melihat China sebagai ancaman. Bagaimanapun, Jeneral Prayuth Chan-o-Cha yang akan mempertahankan kedudukannya (seperti mana kebanyakan orang tentera Asia) adalah "menguntungkan" China. Sungguhpun begitu, seorang pemimpin Thai yang dipilih secara demokrasi -- walaupun ia merupakan suatu senario yang berkemungkinan tidak berlaku --- mungkin mempunyai pandangan yang lebih bernuansa. Apapun kesnya, pelawat-pelawat China meningkatkan kedatangan pelancong yang besar dan mendadak, dan bekas jeneral itu akan keberatan untuk mengubah hubungan.



India dan Indonesia -- kedua-duanya anggota G20 --- walaupun curiga terhadap cita-cita geopolitik Beijing, amat menginginkan wang tunai China; terutamanya pelaburan pembuatan dan infrastruktur yang bernilai besar. Jika sama ada Joko Widodo atau Narendra Modi kalah, atau lemah, polisi-polisi akan berubah.

Bagaimanapun, Modi -- yang digelar sebagai "chowkidar" atau penjaga negara oleh rakan-rakan separtinya dalam BJP -- telah baru-baru ini teruk dimalukan oleh China yang enggan mengenakan sekatan terhadap pemimpin Jaish-e-Masood (kumpulan yang disenaraikan oleh PBB sebagai pengganas), Azhar Masood dan diandaikan sebagai dalang di belakang pengeboman Pulwama, yang mana 40 tentera India terbunuh hanya pada bulan lalu.

Anjakan politik juga boleh mendatangkan masalah pada rancangan pelaksanaan 5G global Huawei. India mencurigai niat China (mereka masih berkongsi sempadan tanah yang hangat dipertikaikan) mungkin akan menerima tawaran Qualcomm yang lebih mahal. Terkeluar daripada salah satu pasaran telekom terbesar dan paling cepat tumbuh adalah merupakan suatu tamparan pahit. Kerajaan-kerajaan ASEAN kelihatannya kurang mengambil berat tetapi politik dan lobi Amerika boleh menjejaskan rancangan Huawei.



Meneruskan perkembangan di medan ekonomi, kesemua empat negara itu mengalami tahap pertumbuhan (lebih 4 peratus setahun) yang akan membuat pengeksport Eropah dihinggapi keterujaan. Pada waktu sama, ketika mana pengimport minyak kehausan, kesemua empat negara itu menumpukan perhatian mereka pada pengeluar Timur Tengah --- dengan Saudi memimpin langkah untuk memperoleh dan memelihara akses pasaran.

Adalah suatu yang baik untuk mengingati bagaimana pihak berkuasa pengangkutan udara Indonesia mencetuskan gelombang global apabila mereka menghentikan penerbangan Max 8 Boeing 737 mereka.

Juga menarik ialah apabila penguatkuasa Amerika terpaksa turut melakukan tindakan yang sama, membawa kepada mendedahkan kehilangan kepercayaan yang meningkat terhadap korporat dan institusi AS. Trend ini boleh berlaku semula apabila giliran gergasi Asia itu menangani dan mengehadkan pengaruh dan keuntungan Google, Facebook, Amazon dan Netflix.



Sudah tentu, dari sudut ekonomi, India adalah rebutannya. Dengan ekonomi ketiga terbesar dunia, (dari segi Pariti Kuasa Membeli), suatu kadar pertumbuhan 6-7 peratus dan seorang Perdana Menteri yang bercita-cita tinggi dan besar, banyak pihak mengharap Benua Kecil itu akan menjadi jentera Asia kedua bagi pertumbuhan global dan pengimbang saing kepada China. Pada waktu ini, India sudah menggantikan China sebagai pembeli terbesar minyak sawit dan arang batu.

Tetapi mari kita kembali kepada politik.



Mungkinkah keputusan-keputusan pilihan raya ini menjadi petunjuk pada trend global? Lagipun, Filipina dan India adalah dua penyedia perkhidmatan bagi perisian, IT dan dan Khidmat Luaran Proses Perniagaan (atau BPO) terbesar dunia --- menjana bilion pendapatan. Saya mengesyaki perang budaya atas talian akan dimenangi atau kalah dalam kilang-kilang peras tenaga Abad ke-21 yang besar: ladang-ladang troll Manila, Bangalore dan Hyderabad.

Pun begitu, tiga tahun berlalu, adalah baik untuk bertanya, mungkinkah bandul boleh menghayun keluar daripada Duterte yang penuh kemarahan? Bolehkah kita kembali kepada norma demokratik liberal? Atau ia kelihatan seperti kelahiran semula Demokrat di AS dan pemilihan Alexandria Ocasio-Cortez (lebih dikenali sebagai AOC) yang bersemangat adalah hanya merupakan suatu bayangan?



Tanda-tanda menunjukkan ia tidaklah suatu yang boleh diharapkan. Di India, berita "palsu" kelihatannya menenggelamkan media arus perdana --- lagipun banyak daripada mereka menjadi lebih sedikit daripada tukang sorak BJP dan Modi. Satu serangan pengganas dan peningkatan ketegangan dengan Pakistan menambah kemarahan ini. Banyak pihak kini terfikir sama ada idealisme Nehru akan dapat diperoleh semula dalam persekitaran sekarang yang sarat dengan komunalisme getir dan maklumat palsu.

Di Indonesia, ketika mana kempen presiden sampai ke penghujung, ingatan terhadap Gabenor Cina Kristian Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama ("Ahok/BTP") dijatuhkan pada tahun 2017 melalui dakwaan menghina agama yang meragukan dirancakkan di media sosial masih merupakan amaran kuat mengenai kuasa-kuasa gelap dan kuno dalam asyarakat masa kini.



Maka ketika 1.5 bilion pengundi Asia membuang undi, ada baiknya untuk mengingati berapa banyak yang menjadi pertaruhan.

Dunia perlu mengambil perhatian.




* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.