BANDAR Davao sememangnya sinonim dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte. Di sinilah beliau menempa nama dalam bidang politik dan segala pencapaian dan kejayaan beliau terabdi. Davao merupakan simbol keutuhan legitimasi politik Duterte dan – sepertimana yang dikatakan oleh Carlos Munda, seorang penulis blog Mindavote berpusat di Davao – bandar ini kubu kuat Duterte.

Di sinilah, bumi di mana Duterte telah mencurahkan keseluruhan tenaga, masa dan hidup beliau untuk membawa arus pembangunan di bandar ini, yang terletak di selatan wilayah Mindanao.

Di sinilah, tercetusnya mitos yang membentuk aura unik Duterte - pemimpin yang dikatakan boleh ditemui berkelana dengan berbekalkan selaras senapang sambil memandu teksi untuk memantau keamanan dan keselematan di jalanan Davao. Seringkali, sukar untuk memisahkan mitos menarik ini daripada realiti kehidupan harian di bandar kedua terbesar di wilayah selatan Filipina.

Malangnya, baru-baru ini, kota Davao ditimpa tragedi. Insiden letupan di pasar besar Roxas yang terkemuka pada 2 September 2016 (kumpulan pengganas Abu Sayyaf dikatakan menjadi dalang di sebalik insiden yang meragut 14 nyawa dan mencederakan 72 orang yang lain) telah menggemparkan kota ini lantas mengancam kejayaan ikonik yang diraih Davao sebelum ini.

Karim Raslan di pasar besar Roxas. - Foto Karim Raslan

Jelas sekali, insiden ini mengancam imej 'tegas' Duterte yang mengutamakan keselamatan awam – serta aspirasi beliau untuk membawa agenda pembangunan ke seluruh pelosok negara dan tidak hanya tertumpu di Manila.

Dengan gerai menjual pakaian terpakai dan makanan segera yang berderet-deret termasuk gerai aiskrim popular, Mang Danny, pasar Roxas ini sudah lama menjadi simbol keamanan serta keteraturan yang menjadi nadi penggerak kota Davao.

Bonifacio Tan, Presiden Dewan Perniagaan kota Davao, seorang tokoh perniagaan yang optimis telah memberi perspektif menarik tentang kepimpinan Duterte ketika saya menemubualnya baru-baru ini:

“Duterte mengambil pendekatan pragmatik dalam pentadbiran ekonomi. Agenda utama beliau adalah untuk memastikan keamanan dan keteraturan masyarakat setempat. Dengan rumah yang terjaga, ini akan diusuli dengan pembangunan dan kesejahteraan yang menyeluruh."

Sekali imbas kepada pentadbiran Duterte ketika beliau merupakan datuk bandar Davao – jawatan yang disandang sejak 1988 (bukan secara terus) – didapati jelas bahawa pendekatannya telah berjaya menyuntik budaya sivik teguh dalam bandar ini. Sememangnya, keteraturan dan ketenteraman di Davao ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan kecelaruan di bandar-bandar lain di Republik itu.

Karim bersama anggota tentera di pasar besar Roxas. - Foto Karim Raslan

Malah, undang-undang pencegahan maksiat (seperti larangan merokok dan minum arak di tempat awam) yang telah dikuatkuasakan dibawah pentadbiran Duterte, serta kempen anti-dadah beliau yang telah mencetuskan gelombang pembunuhan berkaitan dadah telah mendapat sambutan menyeluruh dari rakyat setempat.

Sememangnya dasar-dasar ini telah menjadi pemangkin utama yang menyumbang kepada kejayaan pendakian Duterte ke Malacanang, ditambah dengan gerak kerja kempen pilihan raya berunsur gerila yang menarik dan menyegarkan.

Meluaskan kanta pandang ke ‘barangay’ (atau penetapan setinggan yang memenuhi kawasan pesisiran pantai), seorang ketua kampung tempatan, Mang Remy, yang berumur 71 tahun – dan peminat setia Rodrigo Duterte – memberi perspektif beliau:

"Davao pada hari ini sangat aman, jauh berbeza daripada sejarah perit yang dilalui sebelum ini. Malah, sebelum ini saya pernah bersua muka dengan Duterte sendiri sebelum beliau dilantik sebagai Datuk Bandar! Beliau kata 'Pare (rakan) saya akan merombak sistem pentadbiran di sini’. Saya yakin bahawa Duterte boleh membawa perubahan yang sama di peringkat nasional”.

Mang Remy. - Foto Karim Raslan

Tolak ke tepi kaedah kontroversial beliau, hakikatnya, kejayaan Duterte untuk menjaga keselamatan setempat telah diterima baik oleh masyarakat majmuk serta golongan pelabur. Secara langsung, perubahan sentimen ini telah mengundang pembaharuan dan peningkatan kualiti pentadbiran awam serta pembangunan infrastruktur yang dinikmati oleh masyarakat majmuk.

Pokoknya, Duterte bertekad untuk menjadikan Davao sebuah bandar yang selamat dan 'mesra perniagaan', satu strategi yang berkesan sehingga baru-baru ini.

Jelas sekali insiden pengeboman ini merupakan satu cubaan untuk menguji keberkesanan pendekatan Duterte.

Lalu timbul persoalan penting, adakah mantan datuk bandar ini mampu mengimbangi keperluan rakyat Davao dengan agenda nasional?

Respon Duterte terhadap pengeboman ini telah menjawab soalan ini dengan jelas dan tegas. Beliau telah mengisytiharkan darurat dan bertekad untuk mengambil segala langkah yang diperlukan untuk mendepani cabaran Abu Sayyaf, meskipun kerajaan beliau berada dalam proses pendamaian bersama kumpulan bersenjata yang lain di Filipina.

Namun, perlu ditekankan bahawa walaupun retorik tegas Presiden Filipina cukup digemari golongan rakyat biasa. Pendekatan beliau turut membawa cabaranya yang tersendiri. Lihat sajalah kepada pembatalan pertemuan antara beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di Pertemuan ASEAN di Vientiane, Laos disebabkan kenyataan kesat Duterte yang telah mengecam Obama.

Retorik sedemikian mungkin berkesan dalam menangani cabaran keselamatan di Davao pada era 1980-an sehingga sebuah kejiranan Agdao yang dilanda keganasan dipanggi ‘Nicar-Agdao’.

Namun demikian, terdapat kemungkinan besar retorik seperti ini tidak berkesan di luar Davao, apatah lagi di pentas Asia-Pasifik.

Dewan Bandaraya Davao. - Foto Karim Raslan

Contohnya, dalam berhadapan dengan pertikaian Laut China Selatan pasca keputusan The Hague. Isu kompleks seperti ini memerlukan pendekatan diplomatik yang berhemah, terutamanya dalam berhadapan dengan China dan juga negara penuntut lain seperti Vietnam.

Di pentas domestik pula, beliau perlu sedar bahawa, mentadbir negara dengan populasi lebih 105 juta orang memerlukan pendekatan yang bersepadu.

Untuk memastikan situasi domestik terjaga, semuanya bergantung pada keupayaan Duterte untuk mengekalkan momentum pertumbuhan KDNK Filipina yang berkembang pesat (sekarang berada sekitar 7 peratus).

Oleh kerana dunia hari ini berada dalam era pertumbuhan global yang rendah, kebanyakan golongan peniaga mampu mengetepikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan sebalknya fokus kepada indikator makroekonomi.

Namun, walaupun keselematan itu adalah isu penting, ia tidak menjanjikan peluang pekerjaan ataupun menjamin kekayaan.

Ambil kisah Mang Remy sebagai iktibar. Meskipun bekerja seumur hidup sebagai penguatkuasa kerajaan tempatan, beliau masih tidak mampu untuk meningkatkan taraf kehidupannya. Malah, beliau masih tinggal di sebuah rumah yang diperbuat daripada kayu dan buluh yang serba sederhana.

Malah, rumah tersebut terletak di tanah kerajaan – bermakna Mang Remy boleh diarahkan keluar pada bila-bila masa sahaja.

Karim bersama Mang Remy dan isterinya. - Foto Karim Raslan

Selain itu, ramai rakyat Filipina – termasuk dari Davao – masih memilih untuk bekerja di luar negara, mencari rezeki di Asia Barat, Asia Utara atau Amerika Syarikat. Walaupun mereka mengirim wang pulang ke Filipina dalam kuantiti yang besar, negara itu kerugian dari sudut dinamik sosial.

Oleh itu, Duterte harus menunjukkan kepimpinan holistik yang tidak hanya tertumpu kepada naratif kejayaan memerangi 'penjahat'. Beliau perlu berdisiplin dan berani berkompromi pada masa dan ketika yang sesuai atau apabila perlu.

Sebetulnya, insiden letupan di pasar Roxas hanya merupakan ujian getir yang pertama untuk beliau: masih banyak lagi yang perlu ditempuh oleh pemimpin Filipina ini. Masa akan menetukan adakah beliau akan berjaya dalam mentransformasi Republik ini.