DIEN Bien Phu adalah sebuah bandar wilayah yang tidak menarik, dikelilingi dengan sawah padi, kira-kira 456 kilometer (atau lebih 10 jam perjalanan darat) ke barat laut ibu negara Hanoi. Terletak di dataran sebuah lembah yang luas, dikelilingi bukit-bukit, ia juga hanya 30 kilometer daripada sempadan Laos-Vietnam.

Tetapi seseorang yang mempersoal azam orang Vietnam tentunya menerima nasihat yang baik untuk melakukan perjalanan sukar dari ibu negara (walaupun terdapat juga penerbangan harian pesawat turbo-prop) ke bandar ini, yang memiliki campuran aneh penduduk kaum-kaum bukit --- dari Tai ke Mong dan Kinh.

Pertempuran Dien Bien Phu 1954 dan kekalahan Perancis yang memalukan adalah salah satu peristiwa paling bermakna pasca Perang Dunia Kedua. Adalah dihujahkan bahawa ia menandakan permulaan kejatuhan kuasa-kuasa kolonial Eropah di Asia (pihak British berundur dari Malaya pada tahun 1957) dan kebangkitan gerakan nasionalis dan Amerika.

Viet Minh memerlukan 56 hari untuk menguasai bunker Komander Christian de Castries di Dien Bien Phu. Mai Duong/Ceritalah

Tetapi dalam hal ini, Perancis sendirilah yang perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan yang memalukan dirinya. Mereka yang memilih tempat yang terpencil, mewujudkan penempatan tentera berjumlah lebih 25,000 anggota yang menerima bekalan dari sebuah lapangan terbang. Rancangannya ialah untuk mengumpan pasukan Republik Demokratik Vietnam yang sukar dilihat serta bersenjata ringan ke kawasan terbuka.

Sungguhpun begitu, Perancis merupakan kekuatan yang sudah lemah. Dengan berperang di banyak medan --- Algeria, Afrika Barat dan malah Madagascar --- mereka tidak berupaya untuk mengekalkan sumber bagi mengalahkan Jeneral Vo Nguyen Giap yang sudah menjadi suatu legenda bersama tenteranya yang berpengalaman keras dalam peperangan.

Bagi petani, Hoang Thi Nga, 37 tahun, kebanggaannya terhadap sejarah negara jelas tergambar. Mai Duong/Ceritalah

Namun, ia merupakan langkah berani bagi pihak Perancis, yang dipimpin oleh wira Perang Dunia Kedua, Jeneral Henri Navarre yang mengisytiharkan bahawa mereka akan "casser du 'Viet" ("mematahkan pihak Vietnam"), hanya untuk mendapati bahawa merekalah yang dipatahkan --- "casser du Francais."

Lagipun, mereka melakukan sebilangan perkiraan yang silap, paling ketara ialah kepercayaan palsu mereka bahawa pihak Vietnam tidak dapat menyalurkan bekalan mereka memandangkan bahawa bentuk bumi bergunung-ganang. Bagaimanapun, Ho Chi Minh mengambil khidmat lebih dari suku juta pembawa barang untuk menyalurkan bekalan makanan dan peluru dengan tangan termasuk meriam yang dileraikan ke bukit-bukit sekitar Dien Bien Phu.

Terowong bawah tanah yang digunakan General Vo Nguyen Giap sebagai tempat persembunyian dari pasukan Perancis ketika mengepung Viet Minh di Dien Bien Phu. Mai Duong/Ceritalah

Meriam-meriam dengan segera dipasang semula dan dilancarkan pengeboman ke atas kedudukan Perancis yang rapuh, dan selanjutnya menjadikan medan pertempuran itu kawasan berlumpur, membawa kepada ingatan terhadap kaedah pertempuran parit pada Perang Dunia Pertama.

Sejarah berada di keliling anda di bukit-bukit itu. Kedua-dua perkhemahan Perancis dan Vietnam dipelihara --- memberikan sekilas pandangan suatu peperangan yang mengorbankan lebih dua juta nyawa rakyat Republik itu.

Kampung Nga di Phuong Loi terletak di pinggiran kota Dien Bien Phu. Mai Duong/Ceritalah

Bagi Hoang Thi Nga yang berusia 37 tahun, seorang penanam padi, perasaan bangga dapat dikesan apabila beliau berkata: "Saya amat berbangga dengan sejarah kami. Negara saya mengalahkan musuh yang lebih kuat."

Dan dengan ulang tahun ke-60 pertempuran yang ikonik itu pada tahun depan, pihak berkuasa tempatan mengharapkan penambahan bilangan pelancong asing untuk mencapai lebih 870,000 dan dengan anggaran keuntungan USD54 juta.

Kerajaan tempatan berharap untuk meningkatkan jumlah pelancong asing kepada lebih 870,000 dan mendapat untung sekitar USD54 juta. Tetapi, apa impaknya terhadap warga Vietnam seperti Nga? Mai Duong/Ceritalah

Penduduk Dien Bien Phu terdiri daripada campuran menarik beberapa golongan montana, mulai dari Tai hingga Mong dan Kinh. Mai Duong/Ceritalah

Tetapi apakah kesannya terhadap orang Vietnam biasa seperti Nga?

"Dahulu sebelum saya kahwin, saya membuat banyak 'Khan Pieu' -- suatu tengkolok tradisional yang dipakai oleh wanita etnik Thai. Tetapi sekarang saya menghabiskan masa saya dengan menjaga keluarga dan membantu sara hidup untuk mereka.

"Saya ada dua orang anak lelaki. Yang tua berumur 16 tahun dan berada di sekolah tinggi. Yang muda berusia enam tahun dan bersekolah rendah.

"Saya berharap keluarga itu akan sentiasa rapat antara satu sama lain dan anak-anak saya akan memperoleh pendidikan yang sewajarnya. Ketika saya muda, saya tidak mepunyai impian. Bapa saya banyak minum arak. Saya hanya mahu keluar, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

"Cabaran utama yang kami hadapi ialah tidak cukup wang untuk menampung keluarga. Ladang itu hanya 200 meter persegi. Kami hanya mampu dua tuaian padi setahun (setiap satu, sekitar 300 kilogram). Kami juga menternak lembu, babi, ayam dan itik.

"Ya, hidup telah bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini --- kami mempunyai jalan yang lebih baik dan bekalan elektrik, tetapi cabaran sebenar adalah meningkatkan hasil tanaman dan kemakmuran desa."

Dien Bien Phu adalah sebuah kota provinsi yang dikelilingi sawah, terletak kira-kira 456km (10 jam perjalanan darat) dari ibu kota Hanoi. Mai Duong/Ceritalah

Dien Bien Phu adalah suatu testamen kuat terhadap semangat Vietnam dan sementara cabaran selanjutnya --- perjuangan untuk membawa perdamaian, kemakuran dan mobiliti sosial yang berpanjangan kepada orang seperti Nga adalah suatu yang besar --- apa yang tidak diragukan dalam pemikiran saya ialah bahawa Republik itu akan berjaya.


*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI