SAYA telah banyak menghabiskan masa di India dan walaupun saya tidak boleh bertutur Tamil, lenggang rentak bahasanya adalah sebahagian daripada ingatan kanak-kanak saya, bersama dengan filem hitam putih MG Ramachandran, tosei, sambar dan acar kelapa.

Maka, apabila saya melakukan perjalanan saya, saya tahu bahawa saya harus memulakannya di selatan, di daerah pusat bersejarah kerajaan Chola, tetapi saya kecewa apabila mendapati veshti (dhoti) telah lama digantikan dengan seluar jean ketat dan kapas chinos.

Kini, India adalah pelbagai perkara: selalunya serentak. Bunyi riuh dan menggilakan -- keragaman Flipkart, teksi Ola, Ranveer Singh mendendangkan lagu rap dalam bahasa Hindi, prasangka kasta dan zaman-zaman yang telah berlalu. Anda berjumpa Adivasi (atau orang suku kaum), Dalit, Muslim Sufi, Jat dan Brahmin: kesemuanya, dengan cara tersendiri dapat hidup bersama tetapi juga berada dalam konflik.

Terdapat kuil dan tempat persembahan di mana-mana -- mengagungkan Tuhan dan dewa --- tetapi tidak ada yang lebih penting daripada Brahma, Pencipta, Vishnu, Pemelihara dan Shiva, Pemusnah. Ia juga negeri Ramayana dan Mahabharata -- gemanya menggetar merentas Asia Tenggara. Dan di dataran Gangga, anda dapat menjejaki kehidupan dan kematian Buddha.


India adalah sebuah negara penuh dengan kepelbagaian. Hidup dalam keriuhan dan konflik yang berterusan. – Foto Karim Raslan/Ceritalah

Tentunya terdapat banyak kepercayaan dan agama lain yang telah meninggalkan lapisan demi lapisan keimanan, kepercayaan dan amalan: satu dunia kuil, gereja, sinagog, masjid dan tempat persembahan yang memeningkan kepala.

Jadi, ketika saya menyelami suatu corak bahasa-bahasa dari Urdu ke Benggala, Marathi dan Inggeris --- saya sentiasa sedar bayangan daripada mereka yang mendahului saya.


Penulis sempat berkunjung ke Kuil Arulmigu Maruthamalai Murugan di Coimbatore. Di Malaysia banyak kuil yang mendedikasikan pembinaannya sempena Tuhan Perang Hindu. Patung Dewa Muragan misalnya dibina setinggi 43 meter, tertinggi di dunia. – Foto Impreety Singh Kohli, traveltraingle.com

Tetapi perjalanan saya bukan mengenai agama dan budaya, bahasa atau sejarah. Saya datang untuk meneroka sebuah raksasa yang sering disalah anggap --- suatu kehadiran ekonomi yang telah cepat menjadi jentera pertumbuhan bagi Asia Tenggaea, kalau tidakpun dunia.

Ekonomi India berjumlah AS$9.449 trilion (pada masa ini merupakan ekonomi ketiga terbesar dari segi Pariti Kuasa Membeli) dan suatu kadar pertumbuhan GDP berjumlah 7.3 peratus (paling cepat di kalangan negara G20) bermakna kejahilan ini perlu berakhir.


Ekonomi India adalah yang paling pantas membangun dalam kalangan negara G20. Infrastrukturnya semakin meningkat sejajar dengan kepesatan pembangunan. – Foto Karim Raslan/Ceritalah

Lagipun, menurut sumber-sumber Bangsa-bangsa Bersatu, India akan mengatasi China untuk menjadi negara paling banyak penduduk dunia menjelang 2024, mencecah 1.5 bilion penduduk menjelang 2030.

Malah, beberapa negeri India adalah sebesar sesebuah negara ASEAN: Uttar Pradesh di utara dengan 244 juta dan Maharashtra di tengah dengan 120 juta adalah sebanding dengan Indonesia dan Filipina.


India bakal memintas China tidak lama lagi sebagai negara paling padat penduduk di dunia. Dijangkakan angka itu bakal mencecah 1.5 bilion penduduk menjelang 2030. - Foto Karim Raslan/Ceritalah


Bilangan kelas menengah telah melonjak mendadak. Dua ahli akademik Universiti Mumbai, Sandhya Krishnan dan Neeraj Hatekar menghujahkan dalam sebuah kertas pada tahun 2017 bahawa kelas menengah telah hampir meningkat sekali ganda dari 304 juta pada tahun 2004-5 ke 604 juta pada 2011-12, walaupun mereka mengakui perubahan ini adalah lebih pada kalangan kelas menengah bawah.

Ini pula menjadikan suatu ledakan besar, kedua-dua di bandar dan luar bandar India untuk permintaan besar bagi Barangan Pengguna Bergerak Cepat (FMCG). Memandangkan minyak sawit merupakan masukan kunci dalam kebanyakan FMCG, India dapat difahami telah menjadi pengguna dan pengimport minyak sawit terbesar dunia --- kira-kira 8.7 juta tan dalam tahun 2018.


Pada 2016, sektor pertanian menyumbang 23% kepada KDNK India. Negara itu juga menyumbang 7.68% kepada hasil pertanian dunia. - Foto Karim Raslan/Ceritalah

Tidak banyak orang sedar bahawa import sumber semula jadi India (termasuk 31.5 juta tan arang batu setahun) sekarang bermakna jiran kita, Indonesia sedang menikmati lebihan dagangan terbesar (AS$8 bilion) dengan India.

Pelancongan adalah satu laqi bidang yang mempunyai permintaan sedang meningkat mendadak. Pertubuhan Pelancongan Sedunia menjangkakan bahawa India akan menghasilkan kira-kira 50 juta pejalan keluar menjelang 2020 -- suatu angka yang dijangka akan berkembang 10-12 peratus setahun.

Terdapat banyak laluan udara baharu antara bandar raya India dan ASEAN. Malah, saya merancang untuk berlepas dengan menggunakan pesawat tambang murah tempatan, Indigo --- dari Varanasi ke Bangkok --- lewat bulan ini.

Juga, beberapa minggu lalu, saya berada dalam penerbangan Garuda 7-5 jam tanpa henti dari Mumbai ke Denpasar. Majlis Perjalanan dan Pelancongan Dunia menganggarkan perbelanjaan bagi pelancongan keluar India akan mencecah AS$2.06 bilion menjelang 2028.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Bernerjee, menganjurkan Perhimpunan India Bersatu pada 19 Jan lalu. Perhimpunan menggabungkan pemimpin dari lebih 20 parti pembangkang. – Foto timesnownews.com

India adalah juga pesaing besar bagi Filipina untuk Outsourcing Proses Perniagaan (atau BPO), suatu industri perkhidmatan yang bernilai lebih AS$23.8 bilion setahun kepada negara kepulauan itu.

Bagaimanapun, ketika kemajuan Kepintaran Buatan (AI) mengancam kacau-bilau pada perniagaan suara ke dalam Filipina yang menguntungkan, kekuatan teras India adalah penulisan pengisian, IT dan kejuruteraan yang bersedia untuk menjadi penampan bagi kesan ke atas bandar raya teknologi di selatan iaitu Bangalore dan Hyderabad.

Ketika perdagangan dan pelaburan ASEAN-India kini tidak dapat menandingi tahap China, keprihatinan terhadap cita-cita strategik Kerajaan Tengah itu telah memaksa negara-negara Asia Tenggara mengembangkan pengetahuan mereka terhadap Benua Kecil itu dan mengukuhkan hubungan dengan para elit India --- kedua-dua, politik dan perniagaan.

Intinya ialah jika berasa letih dengan "Maharaja" Xi Jin Ping, maka kita perlu mula mencari alternatif.

Bagaimanapun, dengan pilihan raya dijangka diadakan pada Jun, Perdana Menteri BJP, Narendra Modi --- seorang yang bercita-cita tinggi dan memiliki tenaga besar --- akan menghadapi suatu pertarungan sukar dan sengit untuk mengekalkan kuasa bagi penggal kedua. Malah, bekas Ketua Menteri Gujarat itu telah dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dibayangkan --- menyatukan pembangkang yang pelbagai untuk menentang dirinya dan dasar-dasar Hindutvanya yang ekstrem, konservatif dan sektarian.

Pada waktu sama, terdapat keretakan pada rekod ekonominya, ketika mana persoalan mengenai pewujudan pekerjaan (atau adakah pemusnahannya?), pendapatan luar bandar, kemerosotan alam sekitar dan dakwaan korupsi peringkat tinggi baru-baru ini. Satu pusingan pilihan raya dewan perundangan pada November tahun lalu memperlihatkan suatu ayunan menentang kerajaan sedia ada di bekas kubu-kubu BJP --- Rajasthan, Chhattisgarh dan Madhya Pradesh.

Perdana Menteri, Narenda Modi berhadapan tugas getir. Rakyat India bakal keluar mengundi Jun nanti. Mampukah penyandangnya mengekalkan kerusi? – Foto ndtv.com

Ke peringkat mana kita di Asia Tenggara sedar bahawa kuasa-kuasa yang bergerak sekarang di Delhi dan keseluruhan Benua Kecil sebagai regionalisme --- iaitu kepentingan orang kuat di wilayah seperti Ketua Menteri Adhra Pradesh N Chandrababu Nadu --- menjadi faktor dominan dalam perkiraan pilihan raya?

Adakah kita memahami pemain-pemain kunci --- seperti tokoh-tokoh generasi kelima dinasti Nehru-Gandhi, Rahul dan Priyanka? Apa pula dengan dua wanita besi yang luar biasa dari Uttar Pradesh dan Benggala Barat, Mayawati dan Maata Banerjee yang tidak menyukai kedua-dua Modi dan Nehru-Gandhi pada tahap sama?

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih banyak mengenai prospek India, saya akan meneroka Benua Kecil itu dari sudut pandangan Asia Tenggara yang unik.

India telah hadir secara besar-besaran di Asia Tenggara pada masa lalu.

Pastinya ia juga perlu diambil kita pada waktu ini.

Dan dengan China bertambah keras, Asia Tenggara sangat memerlukan India untuk memainkan peranan dengan lebih besar dalam masa depan kita --- ekonomi dan perniagaan hanyalah baru satu permulaan.



* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.