BERT berasa kurang senang. Biawak iguana Columbia berwarna hijau yang berusia lapan tahun itu tidak gemar dibangunkan daripada tidur siangnya. Ia mempunyai maruah yang seolahnya tidak dihargai apabila diletakkan di atas meja makan. Sama sekali tidak.

Sementara itu, pemiliknya Kuya (“Abang”) Kim Atienza, seorang aktivis alam sekitar dan pengacara rancangan televisyen ala Steve Irwin versi Filipina, sedang berbual dengan saya tentang kerjayanya, minat dan pengembangan jenamanya – jenama Kuya Kim dengan topi safarinya – ke pasaran Internet, termasuklah permainan digital dan aplikasi.

“Saya datang daripada keluarga politik. Ayah saya Datuk Bandar Manila dan saya diasuh untuk mengikut jejak langkah beliau. Saya memegang beberapa jawatan dalam kerajaan tempatan selama dua belas tahun, daripada pengerusi kejiranan (“barangay”) sehinggalah kepada ahli majlis perbandaran. Pada tahun 2004, saya mula muncul di televisyen (ABS-CBN, penyiar tempatan yang utama) dalam sebuah rancangan tentang haiwan – sesuatu yang saya minati sejak sekian lama. Ketika itu saya fikir pendedahan itu akan memberi manfaat kepada kerjaya politik saya.”

“Sebaliknya, Maria Ressa (seorang bekas wartawan CNN yang kini menerajui laman web beritaRappler.com) yang merupakan majikan saya, menarik saya ke tepi.

 Iguana Columbia Hijau milik Kuya Kim Atienza, Bert, baru saja terbangun dari tidur sebelum dibawa untuk menyertai sesi wawancara
Secara ringkas, beliau tahu apa yang saya cuba lakukan dan walaupun beliau suka apa yang saya buat, saya terpaksa memilih antara politik atau dunia hiburan. Itu bukan pilihan yang sukar dan saya memulakan kerjaya di televisyen tidak lama selepas itu.”

Kebiasaannya di Filipina, landasan kerjaya seorang ahli politik bermula dari bidang berita dan hiburan ke arena politik dan kuasa. Lihat saja bagaimana tokoh-tokoh seperti mantan Presiden Joseph “Erap” Estrada, Senator Loren Legarda dan Senator Ramon “Bong” Revilla Jr. muncul.

Kuya Kim adalah seorang pecinta binatang di sepanjang hidupnya. Haiwannya sering dibawa ke acaranya dan anak-anak juga para penonton diperbolehkan untuk berinteraksi dengan mereka.
Namun, bagi Kim Atienza (nama asal Alejandro Ilagan Atienza), kini 50 tahun, peralihannya terbalik dan beliau sangat gembira.

Kim berjaya melakarkan sebuah pesona televisyen yang tulen dan menarik (malah mungkin juga comel?)

Rancangan mingguannya, “Matanglawin” (“Mata Helang”) yang bersiaran selama sembilan tahun dan disiarkan pada setiap Ahad, menang banyak anugerah.

Kuya Kim yang fasih dua bahasa dan nampak seperti kebodoh-bodohan sangat meminati apa yang saja yang beliau lakukan – sama ada bermain gelung, menjalani pembedahan jantung dan melaporkannya sendiri, merondah dengan skuter Vespa atau hanya meluangkan masa dengan keluarga.

Kura-kura leher panjang adalah salah satu dari banyak spesies kura-kura langka yang Kuya Kim Atienza miliki dalam koleksinya.
Dengan jumlah pengikut media sosialnya sebanyak 416,000 di Instagram dan 3.9 juta di Twitter, ramai warga Filipina mengikuti dengan dekat setiap gerak-gerinya.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Felicia “Fely” Hung Atienza, seorang bekas eksekutif bank pelaburan yang bergaya dan terlatih di Wharton, dan mereka membesarkan tiga orang anak di sebuah kediaman di tengah-tengah kota lama Manila.

Rumah mereka menjadi tarikan selebriti, daripada pelakon Anne Curtis-Smith sehingga kepada penyanyi Isabelle Daza dan pemberita Karen Davila, antara nama-nama tersohor dalam landskap media Filipina.

Kalau mahu duduk, berdiri atau berjalan di dalam rumah itu, mesti sentiasa berwaspada kerana di antara perabot antik dari pertengahan abad ke-20 dan karya seni kotemporari, ada sejumlah haiwan peliharaan yang tidak ubah seperti milik Dr. Doolitle: kura-kura, lebih kurang 40 ekor anjing, unggas, ular sawa dan biawak.

Kim akur bahawa untuk meningkatkan kesedaran, beliau harus menangkap imaginasi orang ramai
Kim menjelaskan: “Prinsip televisyen saya mudah. Saya perlu menghibur tatkala mendidik kanak-kanak.

Dalam apa juga rancangan yang saya lakukan, mesti ada sesuatu yang boleh diterapkan iaitu ilmu pengetahuan. Sama ada saya menyampaikan laporan cuaca, mengunyah daun dengan seekor zirafah atau bergelut dengan seekor ular, saya selalu beri tumpuan kepada kehendak penonton iaitu golongan kanak-kanak yang saya cuba hiburkan dan lebih penting lagi, mendidik.”

Kim akur bahawa untuk meningkatkan kesedaran, beliau harus menangkap imaginasi orang ramai: “Saya harus berjenaka untuk menjelaskan teori sains. Contohnya, saya berenang sejauh satu kilometer di Sungai Pasig yang tercemar (yang merentasi pertengahan Metro Manila) untuk mengaut plastik, lampin terpakai dan bangkai haiwan untuk menekankan betapa sungai itu perlu dipulihara. Rancangan tersebut pada masa itu sangat popular! Namun, ia tidak kelakar bagi saya dan jurukamera (yang meranduk sungai itu bersama saya) kerana kami jatuh sakit teruk kemudiannya.”

Tujuh tahun lepas, Kim – yang mengidap jantung berlubang – diserang strok. Ini memaksanya untuk menukar gaya hidup secara drastik. Namun beberapa tahun selepas serangan strok itu, beliau menyertai tujuh perlumbaan maraton (larian 42 kilometer) serta menamatkan satu acara triatlon serta tujuh acara separa triatlon.

Buaya Amerika Utara yang suka menggertak kura-kura adalah satu dari hewan Kuya Kim yang paling agresif. Ini satu-satunya hewan yang ia tidak perbolehkan anak-anak untuk berinteraksi pada acaranya.
Triatlon penuh merangkumi acara renang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal sejauh 180.25 kilometer dan larian sejauh 42 kilometer. Apa yang menariknya, setiap kali menyalin pakaian daripada barong kepada topi safari sehinggalah kepada seluar pendek basikal, beliau mengukuhkan popularitinya dengan para penontonnya.

Tambahan pula, minatnya (aktivisme alam sekitar, hak haiwan dan riadah) sejajar dengan trend gaya global yang lazim, sekali gus menyegarkan jenamanya. Oleh itu, walaupun usianya makin meningkat,

Kuya Kim jadi semakin cool dan comel – sesuatu yang tidak ada pada kebanyakan idola siaran penyiaran televisyen Filipina yang pertengahan umur.

Usaha terbaharu beliau iuntuk memanfaatkan keunggulan Filipina dalam bidang IT dan perisian komputer merupakan satu percubaan yang menarik. Beliau berganding bahu dengan Raymond Racaza dan beberapa selebriti menawan untuk menubuhkan sebuah syarikat ‘start-up’ yang diberi nama Xeleb, sebuah syarikat teknologi yang bertumpu pada aplikasi permainan selebriti.

Syarikat itu merupakan anak syarikat Xurpass, syarikat teknologi Filipina yang pertama disenaraikan sebagai syarikat awam.

Mereka berharap untuk melebarkan sayap ke serata Asia Tenggara. Ya, ia satu impian yang besar tetapi dengan kemahiran Kim menukar hal-hal dan maklumat yang membosankan jadi menarik, saya tidak terkejut seandainya beliau berjaya.