Tutup

Ceritalah ASEAN - Mawlamyine: Kota yang ditinggalkan penduduknya

Ceritalah ASEAN - Mawlamyine: Kota yang ditinggalkan penduduknya
Seorang pemandu feri di Attaran, Mawlamyine. Pasukan Ceritalah
MAWLAMYINE (atau Moulmein) adalah salah satu kota di Asia Tenggara yang seperti Sandakan, Bacolad dan Songkhla - dulunya dirasakan besar, tetapi kini ia kelihatan pudar dan tidak menjanjikan apa-apa. Ia kawasan di mana orang mudanya berhasrat untuk meninggalkannya bagi mencari pekerjaan dan wang.

Ibu kota negeri Mon yang berpenduduk kurang 300,000, kota itu sedikit sunyi dan agak terabai. Tambahan pula, zaman kegemilangannya telah berlalu lebih satu setengah abad yang lalu, antara 1826 dan 1852.
Pada masa itu, pihak British mengubah sebuah bandar pelabuhan yang kurang bertenaga di pertembungan Sungai-sungai Salween, Ataran dan Gyaing untuk menjadi ibu kota wilayah Burma yang menjadi milik mereka di pantai Tenasserim.

Mawlamyine hari ini adalah sebuah kota yang boleh didatangi dengan perjalanan darat enam jam dari Yangon. Dahulu, perjalanan ke situ adalah lebih sukar, tetapi pembaikan di lebuh raya nasional dan beberapa jambatan baharu telah mendekatkan kedua-duanya.
Tetapi ia tidak membawa kepada peningkatan bermakna terhadap perindustrian atau pekerjaan. Sebaliknya ia memudahkan penduduknya meninggalkan kota itu.

Gereja Baptist pertama ini, walaupun kelihatan sangat usang dengan warna yang pudar, ia masih digunakan ketika ini. Pasukan Ceritalah

Lagipun, dengan penyeberangan sempadan utama di Mae Sot hanya beberapa jam ke timur (beriringan dengan lebuh raya yang baru dinaikkan taraf); Thailand, dengan gaji yang lebih tinggi (dilaporkan kira-kira ASD8-10 sehari lebih daripada gandaan apa yang ada di Myanmar) telah menjadi lebih mudah untuk masuk.

Memandangkan kehampirannya, mungkin tidaklah mengejutkan bahawa hampir setiap orang yang Pasukan Ceritalah temui bercakap membayangkan keinginan mereka untuk mencari peluang di luar negara. Malah dianggarkan bahawa kira-kira 10-12 peratus penduduk Myanmar hidup dan bekerja di seberang laut - suatu statistik yang boleh dibandingkan dengan Filipina.

Negeri Mon ialah negeri  pengeluar getah terbesar di Myanmar. Pada masa hari-hari makmur, ia menjadi sumber utama pendapatan. Bagaimanapun, apabila harga dunia jatuh, komoditi itu sudah tidak menguntungkan - malah begitu juga bagi banyak pedagang yang bekerja bagi membekalkan pasaran China yang besar di utara.

Penduduk Mawlamyine, Eric Blair, seorang anggota polis kolonial yang menulis novel bertajuk 'Burmese Days' yang merakamkan hipokrasi, perkauman dan keganasan ketika era itu. Georgeorwellnovels

Pelabuhan yang berpemandangan cantik itu juga sama tidak bertenaga. Terdapat hanya sebuah kapal berlabuh di jetinya sepanjang kehadiran Pasukan Ceritalah. Adalah sukar untuk membayangkan bahawa kota itu pernah menjadi pusat serantau yang penting, itu belum lagi termasuk sebagai sebuah pusat pembinaan kapal utama yang menarik bekalan kayu keras jati  yang mencukupi dari hiliran Salween.

Burma adalah salah sebuah tanah jajahan Britain yang paling kaya dan menguntungkan. Kaya dengan sumber asli, Rangoon (Yangon) mengalahkan pelabuhan-pelabuhan besar Empayar, dari Bombay ke Singapura dan Liverpool.

Bagaimanapun, kehadiran British bukannya tidak mendatangkan keburukan.

Mereka adalah penjajah kejam - menghapuskan elit peribumi, membalak ribuan ekar hutan dara dan membuka sawah padi yang luas dengan dikerjakan oleh buruh imigran dari India: terutamanya Benggali dan Tamil. Myanmar kontemporari, dengan paranoia dan patologinya mesti dibaca dalam konteks masa lepas yang bergelora dan berdarah.

Bangunan ikonik Pagoda Kyaikthanlan. Pasukan Ceritalah

Salah satu daripada kritikan tajam terhadap pihak British ditulis oleh seorang penduduk Mawlamyine, Eric Blair (lebih dikenali sebagai George Orwell), seorang pegawai polis kolonial yang novelnya "Burmese Days" (Hari-hari Burma) merakam hipokrisi, rasisme dan kekerasan era itu.

Sungguhpun begitu, tinggalan zaman kolonial kekal menakjubkan. Dalam negara yang majoritinya penganut Buddha, terdapat kesan masa lalu yang kosmopolitan dengan adanya gereja-gereja Anglican, Katholik dan Baptis, serta juga beberapa masjid.

Gereja Katholik St Patrick, dengan masih ada loceng abad ke-19, dan Gereja First Baptist, dinding-dinding kelabunya terkupas dan hitam kerana usianya, masih berkhidmat untuk jemaahnya, yang penukaran agama nenek moyang mereka dilakukan oleh misionari Victoria.

"Sejarah gereja ini adalah amat penting pasa saya," kata Joseph, paderi dalam latihan di St Patrick.

Hussein yang menguruskan Masjid Jamek Surtee. Pasukan Ceritalah

Keluarga Joseph mula menetap di Wilayah Ayeyarwady selepas Perang Inggeris-Burma Pertama (1824-1826), salah satu daripada banyak orang Tamil Katholik dari India selatan yang bertindak demikian pada tempoh itu. Komuniti itu kini mempunyai 50,000, setitis daripada gabungan pelbagai kaum Myanmar yang berjumlag 53.5.

Di sebelah utara lagi, Pasukan Ceritalah bertemu Hussein, seorang tempatan berusia 63 tahun yang menguruskan Masjid Jamek Surtee Sunni. beliau berkata dengan bangganya bahawa komuniti Muslim Surti asalnya dari Gujarat memiliki masjid itu sejak 1846 apabila ia dibina oleh British  untuk kakitangan awam Muslimnya yang dibawa menyeberangi Teluk Benggala.

Datuknya sendiri datang daripada apa yang kini mereka panggil Pakistan - ini memberikan padanya suatu perasaan berkaitan dengan masjid itu, melihatnya sebagai pertalian dengan kisah keluarganya.

Terdapat sesuatu yang lebih pada kota itu daripada hanya pada Pagoda Kyaikthanlan - yang dilaporkan memberi impian kepada puisi "Mandalay" karangan Rudyard Kipling - tetapi ternyata tiada promosi mengenai kekayaan sejarahnya.

Keluarga Joseph pada mulanya menetap di Wilayah Ayeyarwady selepas Perang Anglo-Burma Pertama (1824-1826). Pasukan Ceritalah

Gereja First Baptist mempunyai kira-kira 50 anggota muda hanya dua tahun lalu tetapi sejak itu ia kehilangan kebanyakan daripadanya yang telah berhijrah ke tempat yang lebih menarik di Yangon, Singapura, Australia. Thailand atau AS. Kini hanya ada kira-kira 15 orang.

Pun begitu - mungkin suatu ironi memandangkan latar belakang migran mereka - Hussein dan Joseph tetap bertapak di kota itu.

"Saya mahu tinggal di sini dan menjaga gereja ini," kata Joseph, berdiri seperti pengawal dekat pintu terbuka yang berwarna hijau hangat.

"Orang datang ke sini untuk mencari Tuhan dan melihat bangunan tua ini. Mereka patut tahu sejarahnya. Saya mahu memeliharanya dan menceritakan pada orang mengenai kisah dan budayanya."

Penambahbaikan beberapa batang lebuh raya dan jambatan baharu telah mendekatkan Yangon dan Mawlamyine tetapi ia tidak membawa kepada peningkatan bermakna terhadap perindustrian atau pekerjaan. Pasukan Ceritalah



* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.