ISTILAH itu diperkenalkan oleh rakan baik saya yang juga kolumnis akhbar The Straits Times, Chua Mui Hoong. Saya rasa istilah untuk menangkap denyut nadi perdebatan hangat terutamanya selepas kematian Lee Kuan Yew pada tahun 2015, di republik itu yang pada suatu masa dahulu agak tenang.

“Persaingan” itu boleh dikatakan mencapai kemuncaknya apabila timbul perbalahan dalam keluarga Lee berhubung wasiat mendiang mengenai rumah kediamannya di 38, Oxley Road.

Pada masa dahulu, media yang dikawal oleh kerajaan lazimnya ‘menguruskan’ debat awam. Tetapi dengan kemunculan media sosial, ia jadi mustahil.

Agak sukar untuk melihat bagaimana teknokrat parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menangani cabaran politik ini. Lebih-lebih lagi, semua ini berlaku dalam suasana ketidaktentuan politik apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Kewangan Heng Swee Keat diketahui umum berada dalam keadaan tidak sihat pada tahun lalu.

Kekeliruan itu bertambah apabila kelompok elit tampak bersungguh-sungguh mahu mengetepikan Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam (seorang etnik India Singapura) daripada semua percakapan tentang penggantian kuasa.

Perhatian kini bertumpu pada kumpulan yang dikenali sebagai “Generasi Keempat” PAP, terutamanya enam tokoh yang disebut oleh The Straits Times pada tahun lalu sebagai bakal pemimpin masa depan.

Semasa cuba memahami landskap masa kini Singapura, saya semakin tertarik dengan salah seorang daripada enam nama itu: Ong Ye Kung, Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran) yang juga Menteri Pertahanan Kedua.

Kenapa?

Ada tiga sebab utama yang cukup menonjol sebelum saya bertemu dengannya.

Ong memberitahu penulis, pada tahun ini, Singapura meningkatkan pelaburan di bidang pendidikan hingga SGD12.9 bilion. Foto Karim Raslan

Pertama, Ong yang berumur 47 tahun sudah beberapa tahun berkhidmat secara langsung dengan Lee Hsien Loong. Beliau merupakan Setiausaha Akhbarnya antara 1997 hingga 2003 dan kemudian jadi Setiausaha Sulit Kanan dari 2003 hingga 2005.

Keakraban itu membayangkan ada kepercayaan yang mendalam dan abadi antara mereka.
Kedua, Ong seorang yang “tahan uji”.

Kebanyakan kader PAP menaiki tangga kuasa dengan mudah. Tetapi Ong yang bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum 2011 kalah teruk di kerusi Kawasan Perwakilan Berkumpulan Aljuneid bersama bekas Menteri Luar George Yeo.

Kekalahan itu menyentak bintang yang sedang bersinar itu dan memaksa beliau bermuhasabah.
Ketiga, saya tertarik dengan naratif peribadinya yang luar biasa. Bapanya merupakan wakil rakyat Barisan Sosialis pada tahun 1960-an dan menentang PAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew.

Bahasa ibundanya Mandarin tetapi beliau mampu beralih kepada aliran Bahasa Inggeris dan melanjutkan pengajian ke London School of Economics (LSE).

Inilah contoh orang yang berjaya merapatkan jurang bahasa dan budaya Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin yang jarang diperkatakan di Singapura.

Inilah yang membawa saya ke Singapura.

Saya bermula dengan menyertai lawatannya dua kali seminggu ke GRC Sembawang.

 Kawasan yang belum dibangunkan di tengah-tengah kawasan pangsapuri HDB berdekatan Stesen Sembawang. - Gambar Karim Raslan

Saya melihat bagaimana beliau mendekati penghuni flat HDB daripada latar belakang yang pelbagai. Ini merupakan blok apartmen studio yang agak baru.

Dengan peribadinya yang menawan, beliau menghabiskan masa memujuk mereka menerimanya masuk untuk berbual dan bergambar.

Ada pasangan warga emas Hokkien, seorang dua wanita yang merungut tentang sampah, seorang lelaki Tamil, seorang anak muda Melayu dan makciknya yang bertudung — segala macam ragam hidup Singapura.

Ong menguruskannya dengan cekap dan tidak kisah dengan protokol.

Sembawang dan terutamanya Yishun (dalam daerah Gambas iaitu kawasan yang diperuntukkan kepada beliau) membuka mata saya.

Terletak di utara Singapura dan hanya berseberang dengan Tambak Johor, kawasan itu agak berbeza berbanding kawasan-kawasan lain yang padat penduduk yang pernah saya kunjungi di Singapura.

Ong merupakan sebahagian dari mereka yang disebut sebagai 'Generasi Keempat' PAP. - Gambar Karim Raslan

Kawasan Simpang yang berpaya yang terletak di timur laut Yishun dan daerah lain di Sembawang mempunyai kawasan tanah yang belum dimajukan. Ia mengingatkan saya kepada kawasan pinggir bandar yang sedang dibangunkan di luar kota raya Asia Tenggara yang lain seperti Manila, Surabaya atau bahkan Hanoi.

Dalam erti kata lain, ini daerah yang mempunyai potensi masa depan yang besar.

Malah, istilah “potensi masa depan” itu kerap kali diulang dalam perbualan saya dengannya.

Bagaimanapun, apabila saya duduk dengannya beberapa gari kemudian, saya tahu beliau tidak akan memberi apa-apa jawapan yang radikal tentang cita-citanya atau tentang 38 Oxley Road.

Tidak perlu dikatakan, beliau seorang yang berhati-hati, fokus dan tahu apa yang perlu disampaikan. Orang yang kritikal terhadapnya akan mengatakan beliau seorang yang “membosankan”.

Namun apabila bercakap tentang pendidikan, saya harus mengaku saya terkejut. Beliau menunjukkan kepakarannya dalam bidang tersebut — terutamanya pendidikan sepanjang hayat — serta tentang soal minat dan kesungguhan.

Apabila ditanya bagaimana persiapan republik itu untuk menghadapi zaman automasi, jawabnya: “Singapura mengambil langkah berbeza daripada hanya mengajar tentang pengkodan dan kecerdasan buatan... kerana kemajuan berkembang pesat dan lebih mustahak untuk memberi tumpuan kepada hal-hal asas.

Ong Ye Kung, Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) dan Menteri Pertahanan Kedua Singapura. - Foto Kementerian Pendidikan Singapura

“Kita mesti memupuk dalam diri pelajar rasa ingin tahu dan keseronokan belajar, mengasuh mereka tentang kerja berpasukan dan memahami orang lain terutamanya kalau berurusan dengan budaya lain."

Rasa ingin tahu dan keseronokan belajar? Ini cara berfikir seorang menteri PAP?

Katanya lagi: “Kami ada sistem untuk membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan minat mereka — ini mustahak untuk memastikan minat belajar. Kalau seseorang itu ada kecenderungan tertentu, harus ada jalan untuk mereka meneruskan minat itu.”

“... Ekonomi kami kini lebih pelbagai dan boleh menawarkan kerja yang memenuhi kepentingan yang berbeza... Minat seseorang harus memberikannya pekerjaan yang dapat menampung hidup serta mendapat pengiktirafan masyarakat. Anda boleh lihat hal ini berlaku sekarang dalam pelbagai bidang — animasi digital misalnya. Lucasfilm dan industri kreatif lain yang membuka pejabat di sini, mereka tidak semestinya melihat pada kelayakan akademik tetapi pengalaman.

“Sekolah dan institusi mesti beralih daripada peranan tradisi menyebarkan pengetahuan kepada memberikan pengalaman dan kemahiran. Jadi sekarang ini ada lebih banyak fokus kepada belajar melalui pengalaman, latihan sangkutan, projek masyarakat serta pendedahan di luar negara. Cabaran utamanya ialah mengubah cara berfikir pelajar dan ibu bapa. Saya cukup yakin ini boleh berlaku dalam satu generasi.”

Sebuah Singapura yang mendahulukan rakyat sama ada dalam pendidikan mahupun tadbir adalah sesuatu yang di luar jangka dan agak luar biasa.

Jelas bahawa Singapura, menyedari perubahan aktiviti ekonomi masa depan, sedang meningkatkan pelaburannya dalam pendidikan, membelanjakan SG$12.9 bilion pada tahun ini (atau 17 peratus daripada keseluruhan belanjawan) — pertambahan dua kali ganda berbanding pada 2015.

Tetapi apa yang lebih penting, peningkatan itu tampaknya dipadankan juga dengan perekayasaan semula bentuk pendidikan yang hampir menyeluruh.

Ini akan memberikan kesan yang dramatik kepada masa depan politik dan masyarakat di Singapura.

Malah, pelaksanaan perubahan yang menyeluruh itu akan mendatangkan satu cabaran yang besar biarpun beliau sudah membuktikan kemampuannya menangani tanggungjawab seumpama itu, misalnya ketika dia melancarkan sistem kelayakan kemahiran tenaga kerja yang inovatif yang menjadi tunjang Jabatan Pembangunan Sumber Manusia pada 2005-2008.

Ong mengunjungi konstituennya di Sembawang GRC sebanyak dua kali dalam seminggu. Foto Facebook Ong Ye Kung

Begitu juga, semasa kami berbual tentang perbezaan antara Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris, saya sedar bahawa beliau faham sesuatu yang mendalam tentang bagaimana bahasa, budaya dan politik saling mempengaruhi antara satu sama lain: “Bukan sahaja penting untuk menguasai sesuatu bahasa tetapi juga menguasai cara berfikirnya. Mandarin sebuah bahasa yang menyeluruh dan ada sejarahnya. Bahasa Inggeris itu tentang logik dan analitikal. Saya percaya belajar bahasa lain akan menajamkan kekuatan minda.”

Hanya kemudiannya, ketika saya membaca tentang hubungan Singapura yang tegang dengan China barulah saya menyedari betapa Ong akan jadi seorang yang sangat bersedia untuk menghadapi dekad-dekad yang mendatang apabila Beijing jadi lebih berkuasa.

Ong bukan seorang berfikiran memberontak atau tidak konvensional.

Tetapi sejarah peribadinya yang sangat luar biasa, bahawa beliau kalah pilihan raya dan belajar daripada pengalaman serta kesungguhan yang mendalam mahu mengubah pendidikan, menunjukkan keperibadian seorang yang bersungguh-sungguh memberikan tumpuan kepada potensi masa — nah, sekali lagi kata itu muncul.

Hanya masa yang akan menentukan apakah Ong benar-benar seorang calon perdana menteri.

Tetapi pada hemat saya, pada zaman persaingan ini, kepimpinan akan bertumpu kepada mereka yang merenung masa depan dan berazam membina masa depan itu dengan sewajarnya.