Tutup

Ceritalah: Meraikan Aidilfitri di negara minoriti Islam

Ceritalah: Meraikan Aidilfitri di negara minoriti Islam
Saharah merupakan seorang Muslim Maranao yang memiliki kedai perhiasan di Manila, Filipina. Foto Ceritalah
APA pun yang anda panggil: Eid al-Fitri, Hari Raya Aidilfitri atau Idul Fitri (atau lebih ringkas, "Lebaran"), berakhirnya bulan puasa Ramadan adalah cuti utama bagi kedua-dua Malaysia dan Indonesia. Ini tidaklah memeranjatkan memandangkan 61 peratus dan 87 peratus penduduk masing-masing adalah orang Islam.

Kedua-dua bandar raya ibu kota -- Kuala Lumpur dan Jakarta -- mengalami pergerakan keluar manusia apabila jutaan menuju ke kampung halaman atau negeri asal mereka. Malah, dianggarkan kira-kira 15 juta orang meninggalkan Jakarta dalam minggu-minggu menjelang Lebaran --- untuk pulang kemudiannya dengan angka lebih besar.

Saya membahagi-bahagikan masa saya antara dua ibu kota ini dan adalah cukup jelas pada saya bahawa Islam yang diamalkan di kedua-dua tempat dilakukan dengan penghormatan dan keprihatinan, tidak kiralah apa yang dikatakan sebahagian orang.

Malah, terdapat orang Islam yang atas sebab-sebab tertentu berasakan bahawa kedua-dua negara kita ini tidak cukup Islam dan kepercayaan mereka sedang terancam. Secara peribadi, saya dapati hujah ini agak pelik. Adalah jelas terutama semasa Ramadan bahawa kehidupan harian dan rentak kedua negara kita itu ditentukan oleh Ummah yang merupakan majoriti besar penduduk.

Sedihnya, rasa keresahan itu dengan sengaja ditingkatkan oleh mereka yang sepatutnya lebih mengetahui. Apa yang lebih sedih ialah, banyak daripada kecurigaan dan permusuhan seringkali ditujukan kepada saudara sewarganegara bukan Islam kita.

Bulan puasa -- dan Eid -- sepatutnya juga adalah masa bagi muhasabah diri. Ia adalah masa untuk renungan tentang bagaimana kita, sebagai Ummah, telah datang, dan ke mana kita patut tuju.

Jadi saya fikir, untuk berguna, Eid kali ini bagi kita, orang Islam wajar menggambarkan apakah bentuknya hidup dan bekerja dalam masyarakat yang mana Islam bukan agama majoriti dan kita tidak perlu pergi jauh untuk mengalami rasa sebagai "orang lain."

Pasukan Ceritalah berbicara dengan U Tin Win, seorang pemandu berusia 73 tahun tentang bagaimana dia merayakan Idul Fitri di Yangon, Myanmar – negara di mana Islam bukan majoriti. Foto Ceritalah
Di Myanmar, sebuah program tajaan kerajaan telah dilancarkan pada lewat 2017 terhadap keseluruhan komuniti Rohingya yang jenayah mereka hanyalah kerana mereka orang Islam.

Sama juga, pada awal 2017, kota Mindanao, Marawi, merupakan tempat berlakunya kepungan yang memusnahkan antara tentera Filipina dan militan Islam yang menghancurkan apa yang sebelum itu merupakan pusat bandar yang makmur walaupun tidak teratur, yang didiami 215,000 penduduk.

Memikirkan hal ini, dan bagi mengingatkan saudara seagama -- terutama mereka yang mahu memilih untuk menandakan bulan suci itu dengan ketakutan dan tuduh-menuduh --- Pasukan Ceritalah menghabiskan masa dengan orang Islam di Myanmar dan Filipina.

Kami hendak merasakan bagaimana mereka dapat berpuasa sebulan sebagai minoriti. Juga memandangkan pertumpahan darah dan kekejaman yang telah dilancarkan ke atas saudara seagama mereka, maka kami juga mahu mengetahui bagaimana mereka rasa mengenai perayaan Eid dan masa depan mereka.

Saat Ramadan, U Tin Win berbuka puasa dengan keluarga dan cucu-cucunya. 'Kadangkala, saya membagikan makanan kepada jiran tetangga,' ujarnya kepada Pasukan Ceritalah. Foto Ceritalah

U Tin Win, seorang pemandu berusia 73 tahun yang disegani dan lembut tutur katanya, adalah seorang yang Pasukan Ceritalah temui sejak dua tahun lalu. Di kemuncak krisis Rohingya yang membawa kepada penghalauan -- banyak yang menganggapnya sebagai "penghapusan etnik" kira-kira 741,000 orang yang berhijrah ke negara jiran, Bangladesh --- orang tua itu bersedia menghadapi keadaan paling buruk.

Pasukan Ceritalah bagaimanapun agak terkejut bahawa U Tin Win kini berasakan kurang bimbang terhadap masa depan. Tentunya penahanan minggu lalu ke atas Wirathu, sami Buddha Burma yang menghangatkan suasana, telah mendatangkan kelegaan -- jika pun ia tidak berkaitan dengan ucapan kebenciannya yang berbentuk anti-Islam seperti mana sering dilakukannya.
"Tidak ada masalah baharu lagi (di Yangon)," kata U Tin Win. "Saya fikir Aidilfitri tahun ini akan okey."

Sementara di Metro Manila, Saharah yang berusia 28 tahun dan merupakan seorang Muslim Maranao (iaitu dari Marawi) juga dalam keadaan tenang yang serupa. Mesra dan peramah, beliau menghujahkan bahawa Islam terjalin rapat dengan budaya Filipino. "Di kedua-dua tempat kerja dan kediaman saya, saya berasakan bahawa terdapat hubungan rapat dan hampir berbentuk kekeluargaan dalam komuniti Muslim," kata beliau.

Malah semasa wawancara mereka, kedua-dua U Tin Win dan Saharah memberitahu Pasukan Ceritalah bahawa kebiasaannya, Eid di kejiranan mereka adalah urusan komuniti.

Ini adalah masjid yang dikunjungi Saharah di tempat kerjanya di mana orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk. Populasi Muslim di Filipina hanya 5.6 peratus. Foto Ceritalah

Walaupun semasa Ramadan sebelum ini, Saharah berkata, "Berbuka puasa adalah lebih menyeronokkan di masjid tempatan kerana komuniti boleh menikmati kehadiran satu sama lain. Setiap anggota masyarakat membawa makanan untuk dikongsikan." Perhimpunan seperti itu dikenali sebagai Salu-Salo.

Juga, ketika U Tin Win memberitahu kami, di perbandaran Mingalar Taung Myuny di Yongan, juga semasa Aidil Adha (Perayaan Korban yang mana pada tahun ini akan berlangsung pada Ogos) -- kedua-dua Muslim dan bukan Muslim datang bersama untuk merayakannya.

Perkara ini berlaku walaupun pada hakikatnya terdapat laporan bahawa orang Islam di Myanmar telah dipaksa menjadikan perayaan itu sederhana kerana bimbang serangan kumpulan-kumpulan keras penganut Buddha. Namun begitu, seperti katanya: "Kami akan berkongsi daging korban dengan bukan Islam. Mereka akan menziarah rumah saya dan memakan semai (puding susu tempatan)."

Agak terharu mendengar bagaimana orang Islam di negara-negara ini cuba untuk meneruskan hidup, malah mengajak saudara sewarganegara mereka dari kepercayaan berbeza untuk bersama, walaupun keadaan kacau di sekeliling mereka. Keramahan mereka walaupun dalam keadaan diserang sepatutnya menjadi contoh pada Ummah sejagat.

U Tin Win menunaikan solat bersama anak dan cucunya di rumah. Foto Ceritalah

Tetapi ini tidaklah bermakna kita harus mengabaikan ajaran-ajaran agama kita atau tidak mempedulikan penindasan yang dihadapi oleh orang Islam di negara lain.

Kita juga tidak seharus lepas pandang pada hakikat bahawa agama sepatutnya membawa keharmonian dan kemajuan kepada masyarakat kita. Agama seharusnya menjadi penyebab bagi perpaduan, bukannya perpecahan.

Jadi, tahun ini, ketika kita balik kampung pada Eid ini, atau memenuhi pusat membeli belah, atau mengunjungi rumah satu sama lain, marilah luangkan fikiran terhadap orang yang kurang bernasib baik -- dan bersyukur terhadap keamanan yang negara kita nikmati.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin. Minalaidin Walfaidzin.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.